Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan.
Parlimen Malaysia merupakan lambang struktur demokrasi Kerajaan dan mencerminkan aspirasi rakyat melalui perwakilan yang dipilih. Parlimen Malaysia yang merupakan badan penggubal undang – undang tertinggi negara.
Namun selain parlimen, antara pilihan yang dilakukan untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara adalah menerusi demonstrasi.
Tidak dinafikan banyak pihak yang tidak berpuas hati terhadap cara pihak kerajaan menangani pelbagai isu dan masalah negara.
Di Malaysia, demonstrasi jalanan bukan suatu perkara baharu, bahkan, ia juga turut berlaku di segenap pelusuk dunia. Namun, satu persoalan kini menjadi tanda tanya. Adakah demonstrasi jalanan sebagai penyelesaian bijak untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau solusi bijak untuk menekan kerajaan?
Sebelum menjawab persoalan ini, kita harus memahami konteks undang-undang yang diguna pakai ke atas aktiviti ini.
Menurut Akta Perhimpunan Aman 2012, perhimpunan aman adalah dibenarkan tanpa senjata sama ada bergerak atau tidak “demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam, termasuk perlindungan hak dan kebebasan orang lain.”

Jadi, dapat dilhat undang-undang di Malaysia membenarkan demonstrasi jalanan yang dijalankan secara aman tanpa senjata. Sekiranya didapati melanggar akta ini, penganjur boleh dikompaun tidak melebihi RM5,000.
Sehubungan dengan itu, adakah demonstrasi jalanan boleh dijadikan penyelesaian? Adalah lebih baik menilai dengan melihat contoh dari situasi sebenar.
Baru-baru ini, penduduk kampung di Mukim Endau menjalankan demonstrasi secara aman bagi menyuarakan ketidakpuasan hati dengan masalah air berterusan di mukim tersebut.
Dinyatakan oleh beberapa penduduk bahawa masalah air tersebut amat merunsingkan kerana bukan sahaja menyukarkan kehidupan seharian malahan merisaukan penduduk yang berusia untuk ulang-alik mengangkut air bagi keperluan mereka.
“Pernah sekali pihak berkenaan hantar air yang berwarna merah dan kami guna untuk mandi sehingga gatal-gatal badan dan terpaksa pergi ke stesen minyak untuk mandi semula,” kata seorang penduduk.
Berikutan demonstrasi tersebut, perkara itu mendapat perhatian khusus dari Menteri Besar Pahang dan sebanyak RM43 juta diperuntukan untuk mengatasi masalah tersebut.
Biasanya berdemonstrasi bermula dari sebuah isu, kemudian dipanaskan melalui tuntutan dan akhirnya perarakan dan perhimpunan.
Bagi kekhuatiran yang mendesak seperti ini, demonstrasi dijadikan sebagai saluran untuk mendapatkan perhatian dari pihak berkuasa bagi penyelesaian segera.
Namun, kita juga perlu melihat demonstrasi dari sudut negatifnya.
Demonstrasi juga menyebabkan pelbagai kemusnahan bukan sahaja kerosakan dari segi harta benda malahan ia juga mengancam nyawa.
Seperti yang kita lihat keadaan semasa di Sri Lanka yang dilanda krisis ekonomi dan dalam kemelut politik, bantahan besar-besaran penduduk negara tersebut menyebabkan hampir 200 orang cedera dan tujuh maut.
Seorang ahli parlimen antara yang maut ketika rusuhan tersebut selepas bunuh diri selepas menembak dua orang penunjuk perasaan.
Walaupun demonstrasi dilihat sebagai saluran untuk meluahkan rasa tidak setuju, ia juga boleh membawa kesan negatif kepada pelbagai pihak.
Terdapat pelbagai cara yang lebih efektif daripada melakukan demonstrasi jalanan iaitu melalui kempen di media sosial.
Menurut Exco Perhubungan Awam dan Advokasi Kesatuan Pelajar UIAM, Muhammad Amin Mubarak, pandemik COVID-19 ini telah menjadikan kita semua lebih banyak bergantung kepada alat digital untuk berkomunikasi.
Keterhadan pergerakan fizikal menyebabkan tiada lagi aksi seperti demonstrasi, tunjuk perasaan atau mogok dilancarkan di negara kita.
Namun dengan adanya teknologi, demonstrasi melalui pendekatan baharu dapat dilaksanakan sehingga menjadi kritikal dan kekal diperjuangkan.
Menjadi persoalan kini, adakah demonstrasi jalanan merupakan cara yang berkesan dan jalan penyelesaian yang terbaik pasca Covid-19 ini?
Perhimpunan awam yang besar seperti ini boleh melahirkan risiko jangkitan yang akan membawa kepada kluster yang mengugat keselamatan negara.
Sebagai contohnya, pada tahun lepas, protes jalanan, Keluar dan #Lawan dilakukan dan ketika itu kadar jangkitan harian Covid-19 berada pada paras yang tinggi.
Perhimpunan itu dianggarkan disertai seramai 400 peserta yang jelas membahayakan nyawa. Malahan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga masih berkuatkuasa pada ketika itu. Jelas, perhimpunan ini telah melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan ketika itu
Sebelum mengambil keputusan untuk mengadakan demonstrasi, seharusnya kritikan dan aduan seharusnya disalurkan ke saluran yang rasmi dahulu. Sekiranya tidak juga didengar, pastikan demonstrasi yang bakal dilakukan menepati Akta Perhimpunan Aman untuk mengelakkan dikompaun.
Di Malaysia ternyata majoriti demonstrasi jalanan tidak membawa keuntungan kerana perubahan yang berlaku hanya boleh dilihat jelas menerusi pilihanraya dan sehingga kini ternyata pilihan raya merupakan solusi yang lebih baik berbanding demonstrasi jalanan.
Keghairahan untuk berdemonstrasi juga tidak harus menjadi tabiat setiap kali menangani sesuatu isu. Rasional untuk berdemonstrasi harus menimbangkan impak yang hendak dicapai.