Kerajaan Malaysia menyalurkan bantuan berjumlah lebih AS$2 juta kepada Turkiye dan Syria berikutan kejadian gempa bumi dahsyat melibatkan kedua-dua negara itu pada Isnin lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak AS$1 juta adalah daripada Kerajaan Malaysia, manakala AS$1 juta lagi adalah sumbangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Beliau berkata, sejumlah RM1 juta lagi adalah sumbangan daripada Majlis Agama Wilayah Persekutuan yang turut bersetuju bersama dalam permulaan penyaluran dana tersebut.
“Bagaimanapun masalah rumit di Syria kerana kekangan penerbangan dan kos terlalu tinggi buat kita, tetapi kita setuju untuk menyalurkan dana Kerajaan Malaysia. Kita juga berharap bantuan daripada rakyat yang turut bersimpati akan disalurkan ke Turkiye dan sebahagian lagi ke Syria.
“Syria berdepan masalah sekatan dan masalah-masalah lain, maka kita salurkan melalui Palang Merah di sana dan Konsul Kehormat Malaysia di Syria sudah dihubungi untuk memastikan penyaluran dana dan perubatan itu disalurkan melalui Palang Merah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Anwar berkata, Kerajaan Malaysia juga akan menghantar seramai 70 lagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang akan diterbangkan ke Turkiye malam ini bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
Beliau berkata, penghantaran kedua kumpulan itu dibuat selepas keberkesanan ditonjolkan pasukan pertama ketika berada di Turkiye.
“Daripada jumlah itu, seramai 20 anggota merupakan kumpulan SMART manakala 20 lagi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 30 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Pada masa sama, Anwar memberitahu, Kementerian Pertahanan sedang menyiapkan pasukan doktor dan paramedik yang boleh bergerak selari dengan pasukan SMART di Turkiye untuk membentuk hospital medan yang boleh digerakkan dalam tempoh 48 jam.
Bagaimanapun katanya, tindakan itu masih tunggu pengesahan adakah ada keperluan di pihak Turkiye.
Selain itu, simpati dengan bencana gempa bumi di Turkiye dan Syria, kerajaan Perak turut sedia menyalurkan bantuan ke negara berkenaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimana pun bentuk bantuan dan sumbangan belum diputuskan.
Tiga wakil pertubuhan kemanusiaan merentasi sempadan, Muslim Care Malaysia (MCM) juga telah berlepas ke Turkiye dalam misi bantuan kemanusiaan gempa bumi di kedua-dua buah negara tersebut.
Timbalan Pengerusi MCM, Mohd Johari Ismail berkata, destinasi misi kali ini ialah di wilayah Hatay, satu daripada kawasan yang menerima impak teruk akibat gempa bumi berukuran 7.8 dan 7.5 skala Richter pada kira-kira jam 4 pagi dan 1 petang waktu tempatan Isnin lalu.
“Bagaimanapun, kami akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Adana kerana lapangan terbang Hatay ditutup akibat berlaku kerosakan ketika gempa bumi.
“Jarak di antara Adana dan Hatay kira-kira 200 kilometer dan mengambil masa perjalanan antara tiga hingga empat jam,” katanya ketika ditemui di KLIA.
“Menurut satu laporan berita, lebih 50 peratus kawasan kediaman musnah akibat gempa dan satu atau dua orang meninggal dunia daripada setiap keluarga,” katanya.
Menurutnya, antara sumbangan awal yang akan diusahakan pihaknya ialah makanan, pakaian, ubat-ubatan dan wang tunai kepada mangsa gempa.
“Alhamdulillah MCM adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang paling awal turun ke lapangan untuk menghulurkan bantuan,” katanya.
Sumbangan turut boleh disalurkan melalui akaun MAYBANK Muslim Care Malaysia 564490413882, Bank Islam 14014010147470, Bank Rakyat 1101744599 selain ke akaun Bank CIMB Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia 8604171675.
Slip sumbangan boleh dimaklumkan kepada exco untuk rekod dan dokumentasi melalui Hotline: 011-5005 0035 atau kepada Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail 016-997 8323 dan Setiausaha Agung MCM Ahmad Safuan Ujar 013-488 6447.