Di sebalik kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam bidang ekonomi dan politik, beliau juga dilihat telah berjaya membuka lembaran baharu dengan mengembalikan semula dasar luar negara yang telah ‘terputus’ semasa pandemik Covid-19.
Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berpendapat, ia berikutan beberapa siri lawatan rasmi yang dilakukan Perdana Menteri itu sebelum ini dalam memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dengan negara luar termasuk Brunei, Turki dan Jepun.
“Ini yang perlu difahami oleh masyarakat kerana apabila negara menghadapi Covid-19, hubungan diplomasi antara negara-negara luar sedikit terjejas kerana tidak ada satu pertemuan fizikal.
Ismail Sabri turut dilihat berjaya membangunkan Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang strategik dan komprehensif bagi mendepani unjuran pelbagai potensi isu, cabaran serta ancaman.
Tambahnya, Ismail Sabri juga telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan satu latihan amal keselamatan.
Ia merupakan satu idea yang dicetuskan beliau dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan rakyat bersiap siaga menangani apa jua bentuk ancaman pada masa hadapan.
“Peristiwa seperti banjir di fasa endemik perlu dijadikan sebagai satu pengajaran dalam kepimpinan kerajaan di bawah Datuk Seri Ismail Sabri untuk menambah baik sistem pentadbiran keselamatan negara.
“Inilah yang dibangunkan oleh Perdana Menteri dalam ucaptama semasa DKN untuk berusaha memastikan sistem keselamatan negara terjamin,” kata Noor Nirwandy.
Selain itu, kerajaan Malaysia dan Jepun turut bersetuju menaikkan taraf hubungan daripada Perkongsian Strategik kepada Perkongsian Komprehensif Strategik, kata Menterti Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, bagi menyelaras penaikan taraf hubungan ini, Malaysia sudah memulakan perbincangan pada peringkat pegawai dengan mengenal pasti bidang kerjasama untuk manfaat kedua-dua negara.
“Kami bersetuju bidang kerjasama baharu atau dinaik taraf ini perlu mengambil kira kepentingan bersama bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan, keamanan dan kestabilan serta pembangunan mampan terutamanya ketika Malaysia dan Jepun masih dalam fasa pemulihan pasca COVID-19.
Malaysia dan Jepun menaik taraf hubungan kepada Perkongsian Strategik pada 2015 ketika Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida melawat Malaysia atas kapasiti sebagai Menteri Luar ketika itu.
Negara kita turut mencapai banyak kejayaan ekonomi dengan Arab Saudi, bagaimanapun ia perlu meningkatkan usahanya untuk membina hubungan dua hala yang lebih kukuh dan bermakna dengan kerajaan itu, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, syarikat tempatan tempatan harus berada pada kedudukan yang baik untuk mencontohi kisah kejayaan seperti konglomerat Arab Saudi, Ajlan & Bros Holding Group (Ajlan & Bros) dalam program transformasi korporat mereka.
Hari ini, sebanyak 10 pertukaran memorandum persefahaman (MOU) dilakukan antara Ajlan & Bros Holding Group dan syarikat terkemuka Malaysia dalam bidang pembuatan, elektrik dan elektronik, aeroangkasa, e-dagang, pembinaan, penjagaan kesihatan, teknologi, hiburan dan keselamatan siber.
Tidak lupa juga kita kepada Korea Selatan dimana negara tersebut dan Malaysia kini dalam perbincangan untuk meningkatkan hubungan dua hala sedia ada kepada Perkongsian Strategik.
Duta Korea Selatan ke Malaysia, Lee Chi Beom berkata perkongsian itu bukan sekadar pengisytiharan semata-mata kerana ia akan mencorakkan hala tuju untuk mengadakan lebih banyak kerjasama berpotensi dalam segenap aspek merangkumi politik, ekonomi, budaya, serantau dan antarabangsa.
“Ia bakal menjadi momentum baharu antara Korea Selatan dan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala sedia ada.
Mengulas lanjut, Lee berkata seiring dengan usaha itu adalah penting juga untuk kedua-dua pihak meneroka dan memperluas kerjasama, terutamanya dalam bidang baharu seperti penjagaan kesihatan, digital, kecerdasan buatan (AI), dan industri halal.
“Sambil kita bekerjasama dalam bidang ini, saya yakin kita bukan sahaja dapat mengukuhkan kedudukan kita di rantau ini tetapi juga dapat meneroka bidang kerjasama baharu,” tambah Lee.
Kira-kira 13,000 rakyat Korea kini berada di Malaysia. Tahun ini merupakan tahun ke-62 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Malaysia ialah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Korea Selatan di Asia Tenggara.