Malaysia antara ‘jaguh dunia’ dalam getah

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Malaysia merupakan antara negara pengeluar getah utama dunia. Lebih hebat lagi, produk getah Malaysia kini dieksport ke 189 negara di seluruh dunia dengan kadar eksport meningkat sebanyak 50.6 peratus daripada RM40.1 bilion pada 2020 kepada RM61.7 bilion pada 2021.

Produk getah adalah antara bahan paling serba boleh yang digunakan dalam hampir semua industri moden termasuk E&E, automotif, peranti perubatan, pembinaan dan pembuatan industri serta untuk pengubahsuaian polimer dan penggunaan lain. Tayar, produk lateks seperti sarung tangan industri dan produk getah am yang lain terdiri daripada produk getah biasa.

Sila log masuk atau daftar sebelum mengundi

Adakah anda tahu Malaysia antara negara pengeluar getah utama dunia?

Ya, saya tahu dan berasa amat bangga sekali
100.00% 1 Undi
Mungkin, saya tidak pasti
0.00% 0 Undi
Tidak, ini pertama kali saya dengar tentang maklumat ini
0.00% 0 Undi

Kehebatan produk getah Malaysia

Barangan lateks kekal sebagai penyumbang terbesar kepada eksport produk getah Malaysia, mencakupi 92% daripada jumlah eksport produk getah Malaysia pada 2021.

Eksport barangan bukan lateks pula meningkat sebanyak 26.2% kepada RM5 billion pada tahun 2020. 

Terdapat lebih daripada 125 pengeluar yang menghasilkan produk termasuk sarung tangan, kondom, kateter dan benang lateks. Subsektor ini menyumbang 80% dari jumlah nilai eksport getah, yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh sarung tangan, kondom, kateter dan benang getah. Kondom, sarung tangan pembedahan, sarung tangan pemeriksaan dan kateter dikelaskan sebagai peranti perubatan. Syarikat seperti Hartalega, Top Glove, Kossan Rubber dan Supermax Corp adalah antara pemain utama dalam industri getah Malaysia.

Manakala dalam subsektor tayar dan produk berkaitan tayar terdapat lebih daripada 40 syarikat yang terdiri daripada 11 pengeluar tayar, sementara syarikat selebihnya menghasilkan tayar celup, tiub dalaman dan aksesori lain. Antara pemain utama dalam subsektor ini adalah Continental Tyre PJ Malaysia, Continent Tyre AS Malaysia, Toyo Tyre Malaysia dan Silverstone Berhad.

Dalam pada itu, terdapat lebih daripada 185 syarikat yang menghasilkan pelbagai jenis produk getah seperti pemasangan, tali pinggang, hos, tiub, meterai dan lembaran untuk industri automotif, E&E, mesin & peralatan dan pembinaan untuk pasaran domestik dan global.

Produk getah yang disasarkan kepada pasaran dunia adalah seperti bahan hijau dan bahan tambahan berasaskan bio, bahan nano dan bahan termaju serta produk getah bernilai tambah tinggi. 

Produk getah industri termasuklah produk getah kejuruteraan ialah produk getah baharu yang telah berkembang pesat dan diramalkan berkembang lebih lima peratus dari tahun 2021 hingga 2027.

Disokong penuh oleh kerajaan

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kementerian akan terus menyokong inovasi pembangunan produk getah yang berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi negara selain komited memastikan agar industri getah terus kekal berdaya saing di peringkat pasaran global.

Pemain industri getah perlu mempelbagaikan operasi ke segmen bukan perubatan untuk terus menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara pada masa depan.

“Industri, universiti, dan institusi penyelidikan merupakan pusat minda terbaik negara yang memiliki kumpulan pakar dari pelbagai bidang.

Sila log masuk atau daftar sebelum mengundi

Pada pendapat anda, adakah inisiatif ini akan menarik pelaburan dalam industri getah Malaysia?

Mungkin, saya tidak pasti
100.00% 1 Undi
Tidak, Malaysia tidak mampu mempelbagaikan operasi industri getah
0.00% 0 Undi
Ya, Malaysia berupaya untuk menampung lonjakan permintaan
0.00% 0 Undi

“Malaysia muncul sebagai antara pengeksport utama global sarung tangan getah perubatan semasa pandemik Covid-19 berikutan keupayaan negara untuk menampung lonjakan permintaan. Komoditi kita juga mencatatkan prestasi baik, sama ada minyak sawit, getah, kayu, lada dan lain-lain.

“Tetapi sekarang dengan pandemik yang semakin mereda, mungkin kita boleh pelbagaikannya sedikit dan beralih ke segmen bukan perubatan,” katanya dalam ucapan beliau ketika majlis pelancaran Pembiayaan Global bagi Inovasi Getah (GFRI).

GFRI yang bertemakan ‘Memupuk Idea untuk Industri Getah Secara Global’ merupakan inisiatif Majlis Getah Malaysia (MRC) bagi mewujudkan ekosistem yang lengkap untuk menyokong pembangunan industri getah dalam bidang yang berkaitan seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Zuraida berkata, MRC GFRI menyediakan dana permulaan berjumlah RM10 juta yang akan dianugerahkan sebagai dana penyelidikan penuh.

“Dana penyelidikan ini terbuka kepada semua penyelidik tempatan dan luar negara dari pelbagai institusi penyelidikan awam dan swasta, universiti, institusi pengajian tinggi dan syarikat yang berpangkalan di dalam dan luar Malaysia,” katanya.

Menurutnya, satu Jawatankuasa Khas yang terdiri daripada pakar industri dan teknikal dari sektor awam dan swasta telah ditubuhkan untuk menjalankan penilaian teknikal dan kewangan ke atas kertas cadangan penyelidikan yang menepati.

Tiada yang lebih arif tentang getah melainkan Malaysia

Dengan slogan “Tiada yang lebih arif tentang getah melainkan Malaysia,’ Majlis Getah Malaysia (MRC) kini memacu peralihan industri produk getah negara supaya serba moden dan mempunyai nilai tambah.

Diberi nafas baharu sejak April 2020, MRC terus mengorak langkah menuju kecemerlangan melalui pelbagai inisiatif berkaitan reka bentuk dan pembangunan; automasi dan teknologi digital serta usaha mempromosi produk getah yang berkualiti dan diyakini untuk memperkukuhkan kedudukan produk getah negara dalam rantaian nilai global.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Hizwan Ahmad, berkata inovasi dan teknologi adalah nadi utama sesebuah perniagaan untuk mengadaptasi dan mengharungi cabaran pada masa depan.

“Kita sudah mengenal pasti beberapa inisiatif untuk memacu daya saing penggiat industri seperti memperkenalkan saluran dan ideologi baharu menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa (IDO).

“Peranan MRC ialah mengenal pasti dan menilai prospektif syarikat serta membantu pembangunan kapasiti melalui latihan, bimbingan dan jaringan perhubungan menggunakan program usaha sama IDO.

“Satu lagi pemangkin pertumbuhan ialah ‘Program Perintis’ yang memberi penekanan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor getah kering.

“Inisiatif baharu dikenali sebagai Dana Global untuk Inovasi Getah (GFRI) pula dilaksanakan untuk mempromosi idea baharu yang mempunyai nilai komersial tinggi dalam industri getah,” katanya.

Sila log masuk atau daftar sebelum mengundi

Pada pendapat anda, adakah inisiatif ini akan menarik pelaburan dalam industri getah Malaysia?

Mungkin, saya tidak pasti dan tak kisah
100.00% 1 Undi
Tidak, ia akan mengurangkan pokok getah di Malaysia
0.00% 0 Undi
Ya, kerana ia dapat galakkan penjanaan idea, inovasi dan ciptaan bagi produk dan teknologi getah
0.00% 0 Undi

Nor Hizwan berkata, peruntukan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D), diyakini mampu meningkatkan pembabitan antara industri dengan organisasi penyelidikan berkenaan bagi menghasilkan prototaip mengeluarkan produk komersial.

Beliau berkata, geran ini membantu mengenal pasti produk baharu dan teknologi bersesuaian bagi memacu sektor getah kering, sekali gus memangkin penjanaan suntikan pelaburan atau menambah baik rantaian proses pengeluaran yang mencakupi pelbagai peringkat.

“MRC menubuhkan Unit Pengkomersialan dan Pelaburan yang berperanan menyediakan nasihat pakar dan merangka inisiatif khusus untuk mempromosikan aktiviti pengkomersialan serta pelaburan dalam sektor getah Malaysia.

“Pelabur yang mempunyai potensi akan dikenal pasti bagi menyuntik lebih nilai kepada industri dengan mewujudkan peluang pasaran secara meluas.

“Unit Kelestarian pula berperanan merangka dan melaksanakan strategi pengoperasian yang fokus kepada prinsip ekonomi, alam sekitar, sosial dan urus tadbir (EESG),” katanya.

MRC menyediakan nasihat pakar dan merangka inisiatif khusus untuk mempromosikan aktiviti pengkomersialan serta pelaburan dalam sektor getah Malaysia.

Nor Hizwan berkata, inisiatif kelestarian MRC bertujuan merungkai jurang, isu dan cabaran merentasi pelbagai pertimbangan membabitkan EESG seperti risiko berikutan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, pandemik yang mula melanda negara sejak awal tahun lalu menyaksikan dinamik ekonomi berubah secara ketara sehingga memberikan ‘tempias’ kepada prestasi perniagaan dan usaha penjanaan nilai.

Susulan kekurangan tenaga buruh asing pada penghujung 2019, Nor Hizwan berkata, MRC memperuntukkan dana Automasi dan Teknologi Hijau (FAGT) bagi menggalakkan syarikat berkaitan beralih kepada operasi berteraskan kaedah automasi.

Demi memupuk usaha ke arah pengambilan pekerja tempatan, beliau berkata, dana turut disalurkan kepada syarikat dan industri bagi tujuan berkenaan, selain menyediakan bantuan teknikal serta insentif kewangan untuk memacu produktiviti PKS.

“Pekerja asing kekal menjadi komponen penting dalam menjamin kelangsungan industri pengeluaran di Malaysia, justeru Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menjalankan penelitian semula terhadap pelbagai program mereka supaya selari dengan Audit Perdagangan Etika Keanggotaan SEDEX (SMETA).

“Ia juga bertujuan memastikan ahlinya terbabit aktif dalam merungkai isu berkaitan pematuhan sosial dan kelestarian dalam industri berkenaan,” katanya.

Tenaga kerja tempatan sentiasa menjadi tunjang keutamaan MRC, sehubungan itu MRC telah menjalankan kerjasama strategik dua hala dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi merangsang pengambilan tenaga kerja tempatan dalam industri getah negara.

Insentif yang dilaksanakan itu akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam industri berkenaan selain turut bermatlamat untuk menyokong dan mengukuhkan usaha kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.

Usaha ini membolehkan majikan yang berdaftar di bawah MRC yang membuat pengambilan pekerja bermula 1 Januari 2022 lalu layak untuk memohon dan menerima insentif kewangan yang disokong oleh inisiatif JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) di bawah Bajet 2022.

Sila log masuk atau daftar sebelum mengundi

Adakah dengan usaha ini akan menarik minat tenaga kerja tempatan untuk bekerja dalam industri getah?

Tidak, usaha ini tidak akan menarik minat tenaga kerja tempatan
100.00% 1 Undi
Mungkin, saya tidak pasti
0.00% 0 Undi
Ya, lebih ramai pekerja asing dan tempatan berpeluang untuk bekerja
0.00% 0 Undi