Masalah mat rempit atau lumba haram jalanan telah berlarutan selama sekian lama malah tiada sebarang penyelesaian kukuh bagi membanteras masalah sosial itu sejak berdekad lamanya.
Justeru pihak JPJ katanya tidak akan sama sekali berkompromi dengan kesalahan tersebut malah akan memastikan denda maksimum akan dikenakan terhadap pelakunya.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli perkara tersebut akan diputuskan dalam masa terdekat kerana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pelumba motosikal haram atau ‘mat rempit’ susulan kedegilan golongan itu yang gemar menjadikan jalan raya sebagai litar lumba sehingga menyebabkan kematian.
Ini katanya adalah untuk memastikan supaya kumpulan ‘mat rempit’ ini tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan undang-undang ketika di atas jalan raya.
“Kita telah mendapat arahan daripada pihak Kementerian Pengangkutan untuk meneliti semula dan memperketatkan semula tindakan-tindakan ke atas penunggang yang melakukan kesalahan membahayakan keselamatan orang awam di jalan raya.
“Kalau cerita pasal ‘mat rempit’ memang sekarang ini isu yang sangat hangat, jadi JPJ sedang meneliti dan kita akan ambil tindakan dan kita akan maklumkan dalam masa terdekat,” katanya
Dalam pada itu, orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat kawasan-kawasan yang sering menjadi tumpuan kumpulan tersebut untuk melakukan aktiviti lumba haram.
“Kita minta kepada orang ramai untuk maklumkan kepada kita melalui saluran aduan trafik. Kita tahu ada kawasan-kawasan panas tertentu dan memang kita tengah pantau. JPJ dan PDRM sedang memerhatikan mereka dan kita akan ambil tindakan,” katanya lagi.
Buat masa ini jelasnya kesalahan-kesalahan utama yang masih dikesan dalam kalangan penunggang motosikal termasuklah tiada lesen memandu dan juga cukai jalan tamat tempoh.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menuntut pihak berkuasa supaya menghentikan segera ancaman “mat rempit” untuk selama-lamanya.
Dengan kejadian di Lebuh Raya Lim Chong Eu baru-baru ini, kini sudah tiba masanya untuk kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan masing-masing perlu untuk bersama-sama mencari penyelesaian yang kekal bagi masalah ini.
Dengan Kebanyakan pelumba haram jalanan ini adalah golongan belia dan melakukan semua aksi di atas motosikal mereka tanpa mengambil kira keselamatan mereka dan juga pengguna jalan raya yang lain.
Selain itu, pelumba jalanan ini juga cenderung untuk mengubah suai motosikal mereka menjadi mesin lumba dan pengubahsuaian itu dilakukan oleh pengusaha kedai motosikal.
Oleh sebab itu, kerajaan mesti melarang kedai-kedai ini daripada melakukan sebarang pengubahsuaian.
Pasukan petugas pelbagai agensi perlu ditubuhkan untuk mempertimbangkan bagi menjenayahkan pengubahsuaian motosikal oleh pengusaha kedai, sementara motosikal yang dirampas kerana terlibat dalam perlumbaan haram perlu dimusnahkan, dan pelumba haram ini mestilah diarahkan untuk melakukan tugas sosial seperti mana yang diamalkan oleh negara jiran kita Singapura di bawah Perintah Kerja Pemulihan (CWO).
Antara langkah penyelesaian kepada fenomena mat rempit ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyita penunggang motosikal yang didapati melanggar kesalahan jalan raya di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan tegas itu akan dikuatkuasakan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya seperti tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan menunggang motosikal secara berbahaya.
“Kita juga memberi peringatan dan amaran bahawa mereka yang terlibat dalam kegiatan lumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya akan berdepan tindakan tegas termasuk penyitaan motosikal di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang akan dikuatkuasakan.
“Yang mana tidak ada lesen dan cukai jalan akan sita dan pemilik kenderaan dipanggil sebelum dilepaskan,” katanya.
Menurut Aedy Fadly, berdasarkan data JPJ, sejak 2018 hingga Jun 2022 sebanyak 3.7 juta motosikal diperiksa dengan 1.3 juta motosikal telah diambil tindakan.
Jelasnya, antara kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah tiada lesen memandu dengan 471,665 kesalahan diikuti LKM tamat tempoh sebanyak 313,174 kesalahan dan tiada perlindungan insuran sebanyak 299,722 kesalahan.
Ketika ini bagi kesalahan melibatkan lumba haram adalah dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 disabitkan dengan kesalahan memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.
- Hukuman penjara tidak melebihi lima (5) tahun
- dan denda tidak kurang dari lima ribu ringgit (RM5,000) dan tidak lebih daripada lima belas ribu ringgit (RM15,000)
- Hukuman penjara tidak melebihi sepuluh (10) tahun
- dan denda tidak kurang dari sepuluh ribu ringgit (RM10,000) dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit (RM20,000)