Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis Malaysia kekal berupaya menarik kemasukan pelabur asing ke Malaysia.
Katanya, sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri beliau mengadakan 17 lawatan ke luar negara termasuk ke negara-negara ASEAN, China, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.
“Hasil lawatan rasmi saya ke China pada 29 hingga 31 Mac 2023 telah menjana nilai potensi pelaburan RM170.07 bilion iaitu merangkumi pelaburan komited RM100.33 bilion hasil sesi Meja Bulat dengan pemimpin industri dan ketua perniagaan China serta potensi pelaburan sebanyak RM69.74 bilion daripada 19 Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat-syarikat Malaysia dan China semasa lawatan tersebut.
“Manakala lawatan kerja saya ke New York, Amerika Syarikat telah berjaya membawa pelaburan berpotensi sebanyak RM4.74 billion kepada Malaysia,” katanya Anwar yang juga Menteri Kewangan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tan Kar Hing yang minta Perdana Menteri menyatakan hasil lawatan ke luar negara termasuk hasil pelaburan, kerjasama antara negara dan tahap keyakinan pelaburan asing terhadap Malaysia.
Jelasnya, beliau juga telah mengadakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 5 hingga 6 Oktober 2023 dan bertemu dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
“Malaysia dan UAE telah memberi komitmen untuk meningkatkan Perkongsian Strategik Malaysia-UAE melibatkan Sektor tenaga boleh baharu, bidang keterjaminan makanan, pelaburan-pelaburan strategik yang lain dengan memudah cara pelaburan dari pelabur-pelabur kedua-dua negara, pengembangan pusat data di Malaysia dan bidang kecerdasan buatan (AI) melalui kerjasama dengan Mohamed Zayed University of Artifical Intellegence (MBZUAI),” katanya.
UAE ketika ini adalah pelabur terbesar di Malaysia dari rantau Asia Barat dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Sehingga kini, pelaburan UAE dalam pelbagai projek pembuatan yang telah dilaksanakan di Malaysia berjumlah AS$388.8 juta (RM1.48 bilion).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai membuahkan hasil yang baik dengan berjaya menarik komitmen pelaburan berjumlah RM40.6 bilion (AS$8.6 billion).
Beliau berkata kini terpulang kepada pimpinan kerajaan serta kementerian dan agensi terbabit untuk menjadikannya realiti yang pada akhirnya akan menguntungkan negara dan rakyat.
Katanya pelaburan terbesar adalah melalui pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu di antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pelaburan Antarabangsa UAE (UAEIIC) berhubung kerjasama bagi menggalakkan pelaburan serta MIDA dan dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar berhubung projek-projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dengan kapasiti sehingga 10 gigawatt bernilai AS$8 bilion.
“Saya juga mahu memberi penekanan kepada bidang Kecerdasan Buatan (AI) kerana UAE telah mencapai kemajuan yang menakjubkan dalam bidang ini. Masdar City dibangunkan secara canggih, moden dan memenuhi keperluan hijau dan kewujudan universiti bertaraf dunia, Mohamed bin Zayed University of Artifical Intellegence (MBZUAI), yang pertama mengkhususkan bidang AI.
“Mereka (MBZUAI) memberi laluan untuk bekerjasama dengan Malaysia dan universiti-universiti tempatan serta pelajar-pelajar Malaysia untuk belajar di sana bagi program siswazah,” katanya kepada media Malaysia di akhir lawatan kerja dua hari beliau ke UAE di sini hari ini.
Selain Masdar, komitmen pelaburan lain adalah dalam sektor logistik yang bernilai US$450 juta dan sektor aeroangkasa bernilai US$150 juta.
Perdana Menteri juga turut berinteraksi dengan 35 pemain industri utama UAE semasa sesi Meja Bulat bertajuk “Roundtable Meeting with the Captains of Industry in the UAE”, selain pertemuan dengan Syarikat G42 yang mempunyai kepakaran dalam bidang AI.
Mengulas pertemuan dengan Presiden UAE, Anwar berkata pertemuan di antara mereka berlangsung lebih lama dari yang dirancang iaitu kira-kira satu jam.
“Pada pertemuan itu memang saya menekankan isu-isu ekonomi, perdagangan dan pelaburan. Sebagai sesama negara Islam, kita membincangkan soal diplomatik dan isu-isu serantau dunia Arab dan Asia,” katanya.