Seringkali kita melihat dan terserempak dengan produk yang kononnya telah disulam dengan ayat al-Quran.
Tidakkah anda tertanya-tanya, bagaimana produk sedemikian boleh disulam dengan ayat suci?
Bermacam-macam produk ada, daripada buah-buahan, makanan kesihatan hinggalah air kosong yang dikatakan amat istimewa atas alasan ia disulam ayat al-Quran.
Timbul persoalan, adakah semasa produk terbabit dibungkus atau dibuat, ada qari yang tolong membacakan 30 juzuk al-Quran atau adakah bacaan itu dialun secara pukal sewaktu produk disimpan dalam gudang?
Banyak kita lihat produk yang seolah-olah mempergunakan al-Quran dan hadis sebagai gimik pemasaran.
Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kepada pengeluar atau peniaga yang menggunakan taktik ‘menjual makanan sunnah’ untuk melariskan produk mereka.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin, berkata produk seumpama itu perlu dipantau supaya masyarakat tidak terpedaya dengan taktik jualan yang dianggap sebagai ‘tunggang agama’.
“Kita harap selepas ini kerajaan dapat ambil tindakan yang lebih tegas supaya perkara seperti ini tidak berulang. Produk seumpama ini memerlukan pemantauan.”
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyifatkan penguatkuasaan kod etika baharu dalam pengiklanan yang menghalang penggunaan sebarang unsur agama, dapat menyingkirkan pandangan serong terhadap agama dalam perniagaan.
Presidennya, Abdul Halim Husin, berkata sebagai peniaga, langkah itu disokong bagi memastikan sebarang unsur agama yang terkandung dalam iklan tidak dieksploitasi dan menyeleweng dengan tujuan meraih keuntungan semata-mata.
Justeru, beliau berharap, peniaga yang menggunakan kaedah pengiklanan sedemikian supaya akur dengan ketetapan kod etika baharu itu nanti.
“DPMM memandang baik dan menyokong tindakan kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengehadkan peraturan berkenaan di media sosial yang menyalahgunakan agama dalam pengiklanan.
Dengan penguatkuasaan kod etika baharu itu nanti, Abdul Halim berpandangan ia mungkin tertakluk kepada penyalahgunaan yang dilakukan sebahagian peniaga terutama dalam kalangan orang Melayu yang mempunyai perniagaan atau produk berasaskan kerohanian.
“Sehubungan itu, kita menyokong sepenuhnya peraturan yang akan dibuat SKMM pada masa akan datang,” katanya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menguatkuasakan kod etika baharu dalam pengiklanan bagi menghalang sebarang penggunaan elemen dan unsur agama untuk melariskan perniagaan atau pemasaran produk.
Kod Kandungan 2022 yang digubal Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) itu juga bertujuan bagi mengelak salah guna hujah dan unsur eksploitasi agama yang digunakan pengiklan atau pemilik produk untuk memikat hati pengguna.
Dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya tahun ini, perubahan itu dibuat demi menjaga kesucian dan sensitiviti agama, selain mengelakkan timbul salah tanggapan orang ramai terhadap agama.
Antara penyalahgunaan agama dalam iklan yang dikesan berleluasa, termasuk produk yang kononnya sudah dibacakan ayat al-Quran dan dakwaan boleh menyembuhkan penyakit, selain produk yang didakwa mesra wuduk.
Larangan terpakai kepada semua agama
Pengarah Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood berkata, larangan itu terpakai kepada semua agama dan bukan hanya agama Islam sahaja bagi melarang penyalahgunaan agama dalam iklan sebagai gimik pemasaran untuk melariskan jualan produk.
“Perubahan yang dicadangkan antaranya bagi menangani kandungan menghasut atau provokasi, tindakan kekerasan berdasarkan jantina, selain melarang penyalahgunaan agama dalam iklan. Peruntukan baharu ini akan dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun ini.
“Contohnya, produk yang didakwa dibacakan al-Quran dan boleh menyembuhkan penyakit dan produk kecantikan mesra wuduk. Jika benar dakwaan itu, penjual perlu menjelaskan lebih terperinci dan membuktikan kesahihan tuntutan yang dibuat itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Madiha berkata, pada awalnya CMCF mencadangkan perubahan dalam kod etika berkenaan dilaksanakan tahun lalu bersama perubahan lain.
Forum Kandungan yang ditubuhkan secara rasmi pada 2001 adalah sebuah badan pemantau di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang terletak di bawah SKMM.
Madiha berkata, pada awalnya Forum Kandungan mencadangkan perubahan dalam kod etika berkenaan dilaksanakan tahun lalu bersama perubahan lain.
“Perubahan dan larangan itu bukan sahaja untuk melindungi pengguna, tetapi disebabkan pihak kami mendapati banyak aduan dan isu dibangkitkan membabitkan perkara ini,” katanya.
Selain itu, beliau menggalakkan pengguna mengamalkan kawalan kendiri dan amalan selamat ketika melayari internet terutama di platform media sosial seperti YouTube, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan Snapchat.
Madiha menasihatkan pengguna yang mengesan kandungan merangkumi pengiklanan, penyiaran dan kandungan mudah alih yang tidak sesuai serta sensitif supaya membuat aduan kepada suruhanjaya berkenaan.
Katanya, aduan boleh disalurkan menerusi Portal Aduan, e-mel atau surat kepada Biro Aduan Forum Kandungan SKMM.
Henti guna agama sebagai gimik pemasaran, lariskan jualan