Membimbangkan! 72% pelajar didakwa memilih untuk tidak menyambung pelajaran mereka kerana pemikiran mereka dicorakkan oleh pempengaruh media sosial yang majoritinya tidak berpendidikan tinggi.
Data berkenaan diperolehi daripada kaji selidik yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati seramai 390,000 atau 72.1 peratus rakyat Malaysia memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran selepas tamatnya Sijil Pengajian Malaysia (SPM).
Walaupun data tersebut adalah dari tahun 2019 tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021. Mengikut data kajian tahun 2019, membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan namun selepas keputusan , hanya kira-kira 170,000 memilih menyambung pengajian
Perkara itu dikhuatiri akan memberi kesan kepada produktiviti negara bahkan tidak mustahil usaha melahirkan lebih ramai teknokrat yang diperlukan pada masa depan terganggu.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan menggesa, Kementerian Pendidikan (KPM) segera menangani isu berkenaan dan pada masa sama mencari solusi bagi mengelak ramai pelajar terbantut pendidikan mereka di tahap SPM sahaja.
“Satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan melibatkan pelbagai pihak kerajaan, pakar pendidikan, pemegang taruh pendidikan, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mencari pendekatan terbaik untuk tangani isu ini,” katanya.
Beliau juga tidak mahu negara kehilangan ramai bakat dan potensi yang diperlukan serta guna tenaga mahir di masa hadapan.
Biarpun pempengaruh media sosial atau ‘influencer’ ini bukanlah penyebab utama mengapa anak muda ini tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi namun dek kerana corak pemikiran yang dipersembahkan di media sosial memainkan peranan yang sebegitu rupa.
Mereka dimomokkan dengan pemikiran yang tak perlu belajar tinggi-tinggi tapi boleh kaya dan berjaya dengan hanya berbekalkan modal sebagai pempengaruh di media sosial seperti Tik Tok dan sebagainya.
Pempengaruh atau ‘influencer’ seharusnya turut sedar mengenai tanggungjawab mereka yang sebenar terhadap kumpulan ‘follower’ atau pengikut mereka.
Peranan seorang pempengaruh juga perlulah dilihat bukan sekadar memiliki tarikan glamor untuk dijadikan pelaris produk semata-mata namun mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dari itu.
Nasihat ini dititipkan oleh Ustaz Ahmad Saifuddin Yusof yang mengajak para ‘influencer’ agar menyedari tanggungjawab sebenar mereka yang boleh disifatkan sebagai satu bentuk pimpinan dan tunjuk ajar.
“Sebagai influencer kita menjadi pemimpin kepada follower kita. Mengapa mereka follow kita? Mereka rasa kita mampu memberi inspirasi dan tunjuk ajar yang elok untuk mereka guna dan amal dalam hidup mereka.
“Justeru, kita bertanggungjawab di dunia supaya menunjuk jalan yang betul di dunia supaya dan menjauhi azab di Akhirat,’ katanya.
Menurut Pensyarah Pusat Sains Liberal, Universiti Malaysia Perlis, Dr Nazra Aliff Nazri, pempengaruh (influencer) yang meraih ratusan ribu malah jutaan pengikut dalam media sosial masing-masing sekali gus dilihat dapat memberikan impak kepada masyarakat.
“Ia bukanlah satu tiket bagi mereka untuk menyalahgunakan populariti yang diraih serta memberikan kesan ketara tidak baik kepada masyarakat.
“Ada dalam kalangan mereka mengambil jalan pintas dengan memuat naik video tidak sejajar adat dan budaya kita sebagai rakyat Malaysia yang dianggap bersopan santun dalam menjaga tingkah laku.