Jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-2 tahun dari 8 hingga 14 Januari meningkat 13.6 peratus iaitu 2,520 kes berbanding 2,219 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu itu.
Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga kini adalah 4,739 kes berbanding 1,429 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 231.6 peratus dengan 2 kematian akibat komplikasi denggi.
Sebanyak 67 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini dengan 40 lokaliti hotspot berada di Selangor, 15 lokaliti di Sabah, enam lokaliti di Pulau Pinang dan lima di Kuala Lumpur serta Putrajaya.
Beliau berkata, survelan chikungunya pula merekodkan 11 kes pada ME ke-2 dengan 5 kes di Pulau Pinang tiga kes di Selangor dan masing-masing satu kes dari Kedah, Perak dan Negeri Sembilan.
Bagi mencegah demam denggi, pembiakan nyamuk aedes harus dikawal dengan membuang air yang bertakung sebagai langkah utama selain melindungi diri daripada gigitan nyamuk.
Langkah berikut boleh dipraktikkan;
- Elakkan menyimpan bekas yang boleh mengumpul air seperti piring pasu, tong air, tayar, baldi, dan tin-tin. Anda juga boleh terbalikkan bekas-bekas tersebut
- Jangan membuang plastik beg merata-rata kerana ia boleh memerangkap takungan air.
- Sentiasa menukar air dalam pasu setiap minggu.
- Pastikan piring pasu bunga yang basah dan kolah bilik mandi dibasuh serta digosok sekurang-kurangnya seminggu sekali.
- Bersihkan longkang atau parit yang tersumbat agar air dapat mengalir.
- Tangki air dan bekas tadahan hujan sebaiknya ditutup dengan rapat.
- Jika ada kolam hiasan, digalakkan cuci dengan kerap. Anda juga boleh membela ikan supaya jentik-jentik di permukaan air dapat dikurangkan.
- Kerap menukar air minuman haiwan peliharaan anda
Dr Noor Hisham turut menyarankan masyarakat agar melakukan aktiviti gotong-royong bagi memutuskan kitaran hidup nyamuk Aedes dan seterusnya menurunkan insiden jangkitan demam denggi.
Antara langkah lain yang turut diambil pihak berkuasa ialah langkah-langkah pencegahan saintifik yang boleh membunuh populasi nyamuk aedes secara terus.
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah melepaskan 142,000 telur nyamuk Aedes mengandungi bakteria Wolbachia di dua lokaliti di daerah ini sebagai usaha mencegah dan mengawal jangkitan kes demam denggi di lokaliti terlibat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata inisiatif itu bertujuan menggantikan populasi nyamuk Aedes sedia ada dengan nyamuk ‘Aedes berWolbachia’.
Beliau berkata pelepasan melibatkan 58,800 telur di Taman Impianku dan 83,200 lagi di Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPPRS) Pinggiran.
“Setakat semalam (6 Jan) kadar penetasan nyamuk ‘Aedes berWolbachia’ di kedua-dua lokaliti ini adalah sangat baik iaitu melebihi 90 peratus,” katanya dan menambah tempoh pelaksanaan projek pelepasan ‘Aedes berWolbachia’ ialah selama dua tahun lima bulan yang dijangka selesai pada Mac 2025.
Mohammad Fakhruddin berkata projek itu telah dimulakan sejak 2019 membabitkan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Johor termasuk Pahang yang bermula pada 6 Okt lepas.
Pelaksanaan projek itu terbukti berjaya menurunkan kes demam denggi antara 40 hingga 80 peratus berdasarkan kajian rintis di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, katanya.
Bakteria Wolbachia boleh menghalang pembiakan virus denggi kerana ia terdapat secara semula jadi pada pelbagai serangga namun tidak terdapat dalam nyamuk Aedes Aegypti.
Oleh itu, bakteria Wolbachia dimasukkan ke dalam nyamuk Aedes Aegypti bagi menghalang pembiakan virus denggi di dalam nyamuk tersebut.
Secara ringkasnya, selain langkah-langkah yang dijalankan oleh pihak berkuasa, orang ramai juga turut perlu memainkan peranan dalam menangani peningkatan kes demam denggi dengan mencegah pembiakan nyamuk aedes di kawasan sekitar kita.