Berita baik buat penjawat awam. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah bersetuju menaikkan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.
Beliau berkata, kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka.
“Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti itu disimpan bagi tujuan award wang tunai pada masa persaraan sekali gus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak,” katanya.
Selain itu, penjawat awam yang telah memilih Skim Pencen mahupun Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berhasrat memohon pemberian awal ganjaran wang tunai GCR perlu memenuhi syarat-syarat seperti tempoh perkhidmatan pegawai yang boleh dimasuk kira hendaklah tidak kurang daripada 15 tahun.
Pegawai berkenaan juga perlu mencapai umur 45 tahun dan jumlah GCR terkumpul sebelum permohonan pemberian awal ganjaran wang tunai GCR hendaklah sekurang-kurangnya 80 hari.
“Pemohon perlu bebas daripada sebarang prosiding jenayah atau tindakan tatatertib dan mendapat perakuan daripada Ketua Jabatan,” katanya.
JPA seterunya memaklumkan, Ketua Jabatan hendaklah menggunakan aplikasi Sistem Pengiraan GCR yang boleh dimuat turun di portal www.jpapencen.gov.my untuk tujuan pengiraan GCR yang tepat bagi pemberian awal ganjaran wang tunai GCR.
Di samping itu, Ketua Jabatan juga perlu memastikan pengumpulan GCR yang dibuat sepanjang tahun perkhidmatan pegawai adalah betul dan teratur sebagaimana kehendak peraturan yang berkuat kuasa.
“Semua dokumen permohonan pemberian awal ganjaran wang tunai GCR yang telah diperakukan hendaklah dikemukakan melalui Ketua Jabatan kepada Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA.
“Surat Edaran boleh dimuat turun melalui portal JPA di https://tinyurl.com/59en9n7v,” katanya.
Maklumat perhubungan berkaitan GCR boleh diajukan ke talian 03-8885 4686/4428/4431/4670/4427/4729 atau e-mel: pertanyaan.gcr@jpa.gov.my.