Ajal dan maut itu di tangan Tuhan. Tak ada siapa tahu bila saat kita akan tinggalkan alam fana ini.
Ada yang kata kalau susah sangat hidup lebih baik mati, nampaknya kata-kata itu tidak lagi releven kerana kini jika hidup susah, mati pun susah jika tidak ada bekalan kewangan untuk menanggung kos mati.
Inilah realiti yang perlu ditelan biarpun pahit kerana selain kos sara hidup yang semakin membebankan dan menghimpit, kos mati atau meninggal dunia juga tidak murah.
Mana tidaknya, individu Islam yang tidak menyertai mana-mana khairat kematian perlu menyediakan wang diantara RM2,000 hingga RM5,000 untuk pengurusan jenazah.
Wang itu termasuk digunakan bagi perbelanjaan majlis tahlil tiga malam berturut-turut, tempahan makanan dan pembelian batu nisan.
Selain itu, kos berkenaan juga bagi menampung van jenazah, kelengkapan kapan dan lain-lain.
Seorang wakil pengurusan jenazah, Syafiq Hassan berkata, masih ramai orang muda belum menyedari kepentingan khairat kematian yang dilaksanakan di kariah masing-masing.
Katanya, pakej pengurusan jenazah termasuk mandi, kafan, pengebumian dan bacaan tahlil di pusara di kawasannya menelan kos minimum RM890 seorang.
“Ia bagaimanapun bergantung kepada kariah masing-masing. Jika di kawasan bandar, ada pihak pengurusan menetapkan lebih RM2,000.
Ia termasuk perkhidmatan van jenazah mengikut jarak perjalanan (luar daerah) sama ada dari hospital ke rumah atau terus ke tanah perkuburan,”
Menurut Syafiq, ada beberapa kos tambahan seperti majlis tahlil dan tempahan batu nisan yang perlu ditanggung oleh waris si mati sekiranya mereka tidak menyertai khairat kematian.
Tambahnya, waris tidak perlu memikirkan kos itu jika si mati menyertai khairat kematian.
“Sesetengah ahli khairat kematian hanya perlu membayar RM20 setahun dan perlu dijelaskan setiap bulan atau seumur hidup bergantung kepada kawasan,” katanya.
Ada juga yang mengambil kesempatan dalam kesempitan orang lain sehingga menaikkan caj dengan melampau!
Kegiatan ‘ulat jenazah’ menguruskan kematian mencetuskan kontroversi apabila mereka mengenakan caj yang mahal hingga membebankan waris.
Tanpa memikirkan kesedihan yang ditanggung, keluarga si mati ditekan pula dengan caj yang tinggi bagi menguruskan jenazah atas tiket kononnya ‘amal jariah.’
Mereka sering berkeliaran di pekarangan bilik mayat sebelum mendekati waris yang ketika itu bingung dan dilanda kesedihan seolah-olah dapat menghidu peluang mempengaruhi mangsa untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.
Malah, kegiatan ini bukan berlaku di hospital, tetapi dipercayai turut dijadikan perniagaan membabitkan kariah masjid atau surau di lokaliti.
Seorang mangsa, Baizura Tahari, 33, mendedahkan kisah hitam dia dan keluarga yang ditipu ‘ulat jenazah’ sebanyak dua kali membabitkan kematian nenek dan bapanya.
Menurutnya, dia tidak sedar dirinya diperalatkan kerana beranggapan individu terbabit sememangnya berniat membantunya.
“Ketika di Jabatan Forensik, saya dihampiri seorang lelaki yang menawarkan khidmat pengurusan jenazah bersama senarai caj akan dikenakan mengikut pakej yang ditawarkan.
“Walaupun jarak antara hospital dan rumah hanya kurang 10 kilometer namun caj dikenakan memang melampau dan menekan waris,” katanya.
Baizura mengakui wujud beberapa perkhidmatan yang ditawarkan (ulat jenazah) kepadanya bermula pakej pertama iaitu mandi dan kafan hingga pakej penuh ke liang lahat.
Dia juga terkejut apabila caj bagi pakej lengkap dipilihnya mencecah RM4,500.
Antara inisiatif yang boleh diambil untuk menghentikan kegiatan haram seperti ini, jabatan agama negeri boleh menetapkan kadar pengurusan jenazah di negeri masing-masing seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menyediakan Garis Panduan Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Negeri Selangor.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, usaha tersebut dirangka bagi memastikan kos pengurusan jenazah lebih seragam dan selaras.
Menurutnya, pihak JAIS mendapat makluman bahawa kadar pengurusan jenazah di Selangor adalah berbeza mengikut masjid, surau serta pihak yang mengendalikan urusan berkenaan.
“JAIS tidak pernah menetapkan sebarang kos pengurusan jenazah di masjid atau yang diuruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO).
“Namun, terdapat biro khairat di bawah seliaan masjid atau surau yang menetapkan kadar pengurusan jenazah berbeza antara institusi-institusi berkenaan.
“Terdapat juga masjid dan surau meletakkan yuran khairat kematian yang tinggi atau menggunakan khidmat syarikat insurans bagi menguruskan jenazah jika berlaku kematian,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, walaupun JAIS tidak menerima sebarang aduan berkenaan kos mahal untuk menguruskan jenazah, namun perkara tersebut menyukarkan pihak berkenaan memantau penetapan kadar yang berbeza.
Oleh itu, katanya, JAIS sedang memperhalusi garis panduan yang bakal dirangka oleh pihak tersebut bagi menyelesaikan isu perbezaan harga pengurusan jenazah di Selangor.
“Setakat ini, kerajaan Selangor tidak menyalurkan apa-apa sumbangan bagi membantu pengurusan jenazah.
“Namun, waris yang terdiri daripada golongan fakir miskin biasanya akan dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), yang mana pihak masjid akan bayar dahulu (kos pengurusan jenazah), kemudian membuat tuntutan dengan LZS.
“Sebab itu, JAIS terus menggalakkan kepada ahli-ahli kariah untuk menyertai khairat kematian masjid kerana mereka yang tidak mampu urus jenazah akan ditanggung oleh biro khairat masjid tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, mengikut tinjauan kami, kos pengurusan kematian di negeri Melaka dilaporkan sebanyak RM650 (anak kariah) sehingga RM820 (bukan anak kariah) manakala kos di negeri Sarawak pula adalah sebanyak RM530 sehingga RM630.


Bukan sahaja pengurusan kematian Islam, malahan kematian bukan Islam juga turut mengalami peningkatan.
Sejumlah RM5,000 dikenakan bagi pengurusan mayat bukan Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19, berbanding RM2,000 hingga RM3,000 bagi kematian biasa.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J Arul Kumar, berkata bayaran bagi kematian biasa sekitar RM2,000 hingga RM3,000 untuk satu pakej, namun kos pengurusan mayat kes Covid-19 dikenakan bayaran mahal.
Bagi terus menghentikan penganiayaan terhadap mereka yang sedang berduka dengan pemergian orang tersayang, mungkin satu pelarasan kos boleh dilakukan bagi mengelak salah laku atau penipuan dalam hal melibatkan pengurusan kematian.