Krisis bekalan ayam menjadi buah mulut rakyat Malaysia sejak beberapa bulan ini. Mana tidaknya, bekalan ayam yang tidak mencukupi atau ketiadaan bekalan makanan tersebut menggusarkan rakyat; bukan sahaja orang ramai malahan mereka yang terlibat dengan perniagaan makanan yang berasaskan ayam.
Keadaan yang semakin meruncing ini mendesak campur tangan kerajaan bagi memastikan keperluan rakyat dapat dipenuhi.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) meminta agar tiada ‘percaturan dan permainan’ harga diteruskan menerusi pengurangan bekalan ayam di pasaran dengan pelbagai alasan yang jelas membebankan rakyat.
“Bila dikatakan berlaku bekalan ayam tidak mencukupi, ini bermaksud ada benda-benda tak betul yang wujud.. Tidak dinafikan memang ada penyakit ayam dan beratnya tidak sesuai untuk dijual, namun situasi itu sentiasa berlaku sepangjang masa,” menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Kementerian tersebut juga sedang meneliti faktor kekurangan bekalan ayam di pasaran dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Selain itu, hasil pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati kebanyakan ladang ayam bersedia untuk membekalkan ayam di pasaran berikutan laporan kewujudan ‘kartel’ ayam bertindak memberhentikan operasi ladang.
MAFI menjelaskan laporan tersebut kurang tepat dan memaklumkan pihak syarikat ladang ayam telah memberikan jaminan ladang mereka akan terus membekalkan ayam untuk keperluan pasaran tempatan.
Tambah MAFI lagi, bekalan ayam di kawasan tertentu terganggu akibat masalah kenaikan berat badan ayam berikutan kualiti dedak makanan ayam selain jangkitan penyakit dan keadaan cuaca panas melampau.
Antara usaha lain yang dilakukan oleh MAFI untuk memastikan bekalan ayam stabil ialah menghentikan eksport ayam 3.6 juta ekor sebulan.
Keputusan itu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil.
Pada masa yang sama, kerajaan bersetuju untuk mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik MAFI dan agensi.
Larangan eksport ini hanya akan dijalankan sementara dan akan dinilai semula selepas bekalan ayam kembali stabil.
“Keperluan bekalan ayam dalam negara adalah lebih kurang 1.8 hingga 2 juta sehari. Jadi langkah (sekat eksport) merupakan langkah sementara yang akan dikaji sebaik sahaja bekalan ayam negara kembali stabil. Ini untuk memastikan kita boleh capai keperluan negara.” kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Untuk langkah jangka pendek, Kabinet juga menetapkan untuk menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam.
Peranan orang tengah juga akan dikurangkan untuk menghindari manipulasi bekalan dan harga ayam. Jihad memerangi orang tengah yang diperkenalkan 2014 ini akan diperkenalkan semula yang akan diketuai oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat.
Menurut beliau lagi, Kerajaan mengambil berat dan memandang serius terhadap isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang kian menghimpit rakyat.
Malah beliau amat kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa buah syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan di pasaran.
“Sehubungan itu, saya memohon agar Keluarga Malaysia menyokong tindakan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan ini demi menjaga kepentingan rakyat yang terhimpit dengan peningkatan harga dan kos sara hidup serta kekurangan bekalan,’ katanya.