Kes Sulu: Malaysia Menang Lagi

Malaysia melakar kejayaan lagi selepas menang di Mahkamah Perancis dalam kes tuntutan Kumpulan Sulu, sekali gus mematikan gerakan mereka untuk merampas aset diplomatik Kerajaan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pada 6 November lepas, Mahkamah Perancis telah membatalkan perintah bagi gadai janji berkanun yang dibuat terhadap bangunan diplomatik Malaysia di Paris oleh penuntut warga Filipina (Kumpulan Sulu).

Adakah anda mengetahui mengenai perkembangan kes tuntutan Sulu ini?

Beliau berkata, pada 9 November, mahkamah sama telah merekod penarikan balik oleh pihak penuntut warga Filipina bagi prosiding rampasan aset terhadap bangunan diplomatik Kerajaan Malaysia yang sama.

“Kesimpulannya keputusan pada 6 dan 9 November ini membolehkan keputusan membebaskan kerajaan Malaysia daripada cubaan tidak sah oleh warganegara Filipina itu untuk merampas aset diplomatik Malaysia di Perancis secara menyeluruh.

“Mereka gagal dalam menyentuh hak milik harta Malaysia dan kita tidak sama sekali boleh bersikap tolak ansur ke atas tuntutan tidak sah ini,” katanya ketika temu ramah bersama media yang diadakan secara dalam talian.

Azalina berkata kesimpulannya keputusan pada 6 dan 9 Nov ini mematikan gerakan warga Filipina ini untuk merampas aset diplomatik kerajaan Malaysia di Paris.

“Kerajaan Malaysia sentiasa akan memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara secara menyeluruh dilindungi setiap masa oleh kerajaan Perpaduan MADANI,” katanya.

Pada pendapat anda, adakah kejayaan dalam kes tuntutan ini akan meningkatkan lagi imej positif negara dalam mengekalkan kedaulatan di peringkat antarabangsa?

Penimbang tara Sepanyol Dr Gonzalo Stampa akan dibicarakan di Mahkamah Madrid pada 11 Disember ini atas dua kes jenayah berkaitan final award kepada Kumpulan Sulu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata Mahkamah Madrid sendiri yang telah menyiasat dan mengeluarkan tuduhan ke atas kesalahan yang dilakukan oleh Stampa dan jika beliau didapati bersalah atas pertuduhan itu, beliau akan dikenakan hukuman penjara dan didenda oleh mahkamah berkenaan.

“Tarikh pendengaran itu ditetapkan berikutan permohonan agresif dan berterusan oleh Kerajaan Malaysia. Ini bukan tuntutan sivil tetapi Stampa berhadapan dengan tuntutan jenayah.

“Ini adalah faktor utama yang memberikan consistency kepada kesimpulan Kerajaan Malaysia bahawa award yang diberi oleh Stampa selaku penimbang tara antarabangsa adalah satu pelaksanaan award yang boleh dilihat sebagai tidak sah dan tidak berasas,” katanya ketika temu ramah bersama media yang diadakan secara dalam talian.

Kesimpulannya keputusan pada 6 dan 9 Nov ini mematikan gerakan warga Filipina ini untuk merampas aset diplomatik kerajaan Malaysia di Paris – Azalina

Menurut Azalina, award yang diumumkan oleh Stampa ke atas Kerajaan Malaysia sebanyak AS$14 billion dilihat sebagai satu ‘fraud award’ kerana mahkamah yang melantik beliau sebagai penimbang tara ialah mahkamah sama yang telah menarik pelantikannya.

“…tetapi beliau (Stampa) masih meneruskan pendengaran kes timbang tara antarabangsa dan melompat ke negara lain untuk melaksanakan keputusan yang telah beliau buat terhadap Kerajaan Malaysia.

“Sebab itulah bagi Kerajaan Malaysia, tuntutan kes jenayah yang dilakukan beliau yang ditetapkan pendengaran pada 11 Dis amat penting untuk kita mematikan segala tuntutan yang telah dilaksanakan oleh Stampa,” katanya.

Tambah Azalina, kerajaan Malaysia akan menghadiri prosiding kes itu kerana Malaysia merupakan pengadu.

“Macam kes jenayah di Malaysia, kalau kita buat laporan polis kita kena masuk mahkamah untuk memaklumkan kita yang buat laporan itu. Jadi suara kerajaan Malaysia akan didengar oleh Mahkamah Jenayah Madrid… sebab kita konsisten dalam pernyataan dan alasan kita tentang sifat beliau (Stampa) yang melanggar undang-undang timbang tara antarabangsa,” katanya.

Malaysia kini dalam proses membatalkan award akhir AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang diberikan oleh Stampa dalam kes yang dibawa oleh lapan individu mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.