Kertas Putih Kesihatan diluluskan, Hala Tuju Sistem Kesihatan Negara

Dewan Negara telah meluluskan usul Kertas Putih Kesihatan sebagai satu daripada hala tuju reformasi sistem kesihatan negara untuk tempoh 15 tahun akan datang.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata setiap tahun Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan proses penambahbaikan di fasiliti mengikut keperluan serta peruntukan yang diterima.

Beliau berkata buat masa ini kementerian dalam proses membaiki hampir 400 klinik daif di seluruh negara.

Adakah anda mengikuti perkembangan pembentangan Kertas Putih Kesihatan ini?

“Di Kelantan, 39 klinik kesihatan dalam proses tender dan pembinaan dan 23 klinik di Sabah akan terima peruntukan, manakala 38 klinik di Sarawak dan 42 klinik di Negeri Sembilan mendapat peruntukan,” katanya.

Beliau berkata KKM akan memulakan satu kajian jurang penawaran dan permintaan fasiliti kesihatan, peralatan serta kapasiti sumber manusia dalam masa terdekat.

Katanya kajian itu bertujuan menyemak semula keperluan sebenar sumber negara bagi keperluan kesihatan rakyat.

Lukanisman berkata menerusi kajian itu, taburan dan keperluan fasiliti, peralatan dan anggota kesihatan untuk seluruh negara di sektor awam dan swasta dapat dipetakan serta diunjurkan hingga 2040 dengan jelas.

“Ini adalah sangat penting, memang menjadi hasrat setiap Ahli Parlimen dan senator menginginkan sebuah klinik yang besar di setiap kawasan…walaupun demikian kita tidak dapat membina klinik di setiap Parlimen dengan perkhidmatan fasiliti KKM.

“Maka kita perlu bekerja dan melakukan mapping (pemetaan) yang menyeluruh supaya kita dapat memastikan keperluan sebenar rakyat untuk mendapatkan akses hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara,” katanya.

Usul dibentangkan oleh Lukanisman itu diluluskan selepas dibahaskan 27 senator.

Sebelum ini, Dewan Rakyat telah meluluskan usul Kertas Putih Kesihatan selepas majoriti Ahli Parlimen menyokong  melalui undian suara.

Ia diluluskan selepas 28 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang membahaskan laporan tersebut, yang menggariskan strategi reformasi kesihatan negara untuk 15 tahun akan datang itu.

Ketika membentangkan Kertas Putih Kesihatan, menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ia menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan bagi mewujudkan satu sistem kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif supaya rakyat kekal sihat dan sejahtera.

Pada pendapat anda, adakah kadar bayaran fi berdasarkan kumpulan pendapatan lebih baik berbanding kadar yang sama untuk semua?

Mengenai isu kadar bayaran fi yang dikenakan pada waktu kini, Zaliha memaklumkan ia masih berada pada tahap yang rendah berikutan subsidi yang diberikan oleh kerajaan. 

Bagaimanapun, jelasnya lagi, kenaikan yang dicadangkan tidak akan dibuat dalam masa terdekat, dan akan mengambil kira pandangan daripada beberapa pihak yang berkaitan. 

“Kadar fi yang dikenakan adalah sangat minima seperti yang kita tahu kerana kerajaan berikan banyak subsidi, fi yang dikenakan adalah sama untuk semua pesakit tanpa mengira kesanggupan sesiapa untuk membayar. 

“Malah KKM juga tiada mekanisme untuk kumpul lebihan fi walaupun ada yang sanggup bayar lebih kerana menerima rawatan komprehensif. 

“Perubahan struktur fi bukanlah dijalankan segera dengan sewenang-wenangnya, ia akan diteliti secara rapi dan telus dengan analisa wajar melibatkan semua yang berkepentingan. Yang paling penting kita akan pastikan golongan rentan tidak akan terkesan untuk mendapatkan akses kesihatan,” katanya. 

Strategi reformasi dalam kertas putih itu jelas Zaliha lagi, ia berpandukan lima aspirasi kesihatan dan ia merupakan hasil libat urus kementerian bersama 847 agensi dan 7,729 wakil antara Mac tahun lalu hingga Jun tahun ini.