Melihat kepada situasi hutang negara dan krisis ekonomi dunia yang mana Malaysia turut merasai tempiasnya, timbul dakwaan Malaysia juga bakal bankrap tidak lama lagi.
Namun adakah dakwaan ini benar atau sengaja menjadi bahan sandiwara politik menjatuhkan kerajaan yang memerintah Malaysia pada ketika ini?
Menjawab dakwaan bankrap atau negara bakal muflis adalah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sendiri yang berkata, dakwaan Malaysia negara kedua hutang tertinggi selepas Sri Lanka adalah palsu.
Menurut beliau, ekonomi Malaysia jauh lebih kukuh daripada Sri Lanka jika dibandingkan indikator ekonomi kedua-dua negara, malah Malaysia berada di kedudukan ke lapan di kalangan negara Asia dengan paras hutang 63.4 peratus daripada keluaran negara kasar (KDNK).
Sehubungan itu, beliau berkata kemungkinan untuk negara bankrap seperti Sri Lanka adalah amat tipis.
“Pada April tahun ini, IMF telah menyuarakan keyakinan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi 2022 akan berkembang pada kadar 5.75 peratus.
“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga tidak pernah menyatakan Malaysia mengalami masalah ekonomi yang mengakibatkan negara muflis, sebaliknya mereka yakin dengan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia,’ katanya lagi.
Dalam kenyataan lain, Tengku Zafrul juga menjelaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berdisiplin membayar hutang di samping pengurusan hutang yang baik.
Dalam hal ini, hutang kerajaan Persekutuan jelas masih terkawal kerana Malaysia berdisiplin membayar faedah dan hutang matang walaupun melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga mengamalkan pengurusan hutang secara berhemat undang-undang sedia ada.
“Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang berbanding perbelanjaan operasi yang lain,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 juga memperuntukkan pinjaman luar pesisir tidak boleh melebihi RM35 bilion.
“Pada akhir Jun lalu, hutang ini adalah berjumlah RM29.4 bilion,” katanya.
Selain itu, ujarnya, Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2022 menetapkan had statutori hutang kerajaan tidak boleh melebihi 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Pada akhir Jun, hutang statutori negara mencatat 60.4 peratus daripada KDNK,” katanya.
Tambah Tengku Zafrul, sebanyak 97 peratus daripada jumlah hutang kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi ringgit.
“Ini mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing adalah minimum,” katanya.
Menurutnya, paras hutang yang tinggi tidak bermakna negara mempunyai risiko kebankrapan.
“Pelbagai agensi penarafan antarabangsa seperti S&P Global, Fitch dan Moody’s sentiasa menilai tahap hutang sesebuah negara bersama dengan faktor lain seperti rangka kerja fiskal berhemat, tadbir urus utuh dan kedudukan luaran yang baik serta kekukuhan ekonominya,” katanya.
Dalam pada itu, rakyat dan pemimpin juga tidak boleh berasa terlalu selesa dengan kemampuan ekonomi negara ketika ini. Ini berikutan risiko yang tidak boleh dijangka dan di luar kawalan.
Kerajaan Malaysia perlu meneruskan usahanya untuk memperkasakan semula ekonomi dan meningkatkan daya saing, kata Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD).
Pengarah Pusat Daya Saing Dunia IMD, Arturo Bris berkata terdapat banyak ketidakpastian yang berada di luar kawalan kerajaan pusat termasuk tekanan inflasi yang berpunca dari luar negara, kenaikan harga tenaga, risiko kemelesetan bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi di peringkat global dan kesan daripada konflik Rusia-Ukraine yang telah memberi kesan bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga negara lain.
“Transformasi ekonomi negara Malaysia sejak beberapa dekad lalu tidak mempunyai fokus yang jelas kerana ia cuba mempromosikan setiap sektor ekonomi: pembuatan dan perkhidmatan, eksport dan metalurgi, kereta dan pengeluaran cip komputer.
“Malaysia memerlukan pembaharuan dengan menumpukan perhatian terhadap kekuatannya; memastikan sistem pendidikan menyediakan pelajar untuk pekerjaan masa depan dan mencegah ‘brain drain’ (penghijrahan cedekiawan), melaksanakan transformasi digital dalam perniagaan dan memajukan dalam semua aspek pendigitalan daripada infrastruktur sehingga inovasi,” katanya.
Mengulas mengenai Kedudukan Daya Saing IMD 2022 yang menyaksikan kedudukan keseluruhan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) terbaharu turun ke-32 daripada kedudukan ke-25, Bris berkata walaupun negara telah pulih negara lain telah melakukannya dengan lebih pantas.
“Sebagai contoh, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Malaysia meningkat 2.82 peratus yang akan menjadi tahap cemerlang pada kelazimannya tetapi ia adalah di bawah purata dalam ranking kami yang terdiri daripada 62 negara, ada yang mengalami kadar pertumbuhan melebihi 10 peratus”
“Malaysia berada pada kedudukan yang lebih rendah dalam setiap empat faktor yang kami tetapkan, mencerminkan prospek yang lebih pesimis dalam kalangan eksekutif,” kata Bris.
Bris menekankan bahawa pendedahan Malaysia kepada tekanan inflasi dan gangguan global dalam rantaian bekalan adalah disebabkan oleh barangan import, justeru kualiti dasar kerajaan membezakan negara lain berkaitan Covid-19.
“Gelombang Covid-19 terkini dan pelaksanaan sekatan perjalanan di beberapa negara di Asia Tenggara menjelaskan mengapa ekonomi ASEAN telah kehilangan daya saing global berbanding negara-negara Eropah.