Dengan keghairahan rakyat Malaysia menyambut perayaan Aidilfitri, Malaysia masih lagi dalam fasa peralihan endemik.
Jangkitan Covid-19 dijangka bakal meningkat selepas perayaan Aidilfitri dengan tiada sekatan pergerakan seperti tahun-tahun sebelum ini.
Menurut pakar kesihatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Sharifa Ezat Wan Puteh menyatakan ada kemungkinan kes melonjak naik ke 20,000 kes selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ini berikutan kebanyakan rakyat pulang ke kampung untuk meraikan Aidilfitri, selain kadar suntikan dos penggalak yang rendah dalam kalangan penduduk umum dan pengambilan vaksin perlahan dalam kalangan kanak-kanak.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga turut menjangkakan perkara yang sama.
Sehubungan dengan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyeru agar golongan warga emas untuk mendapatkan dos penggalak selaras dengan sasaran KKM yang menyasarlan lebih 90% golongan itu menerima dos penggalak.
“Kita akan usahakan untuk kita sampai ke sasaran 90 peratus warga emas dapat dos penggalak,” katanya.
Vaksinasi juga menjadi lebih penting untuk sambutan perayaan kali ini berikutan beberapa kelonggaran yang telah diumumkan oleh KKM pada 27 April 2022.

Dengan adanya vaksinasi, risiko jangkitan Covid-19 yang teruk dapat dikurangkan.
Dalam pada itu, Khairy juga mengingatkan agar rakyat Malaysia terus berwaspada dengan virus covid-19 walaupun diberikan pelbagai kelonggaran untuk sambutan Aidilfitri kali ini.
“Kebebasan ini bukanlah bermakna kita telah menang dalam peperangan melawan Covid-19 dan perlu pastikan perayaan ini tidak berakhir dengan kemudaratan. Walaupun tidak bergejala, kita berkemungkinan menjadi pembawa virus Covid-19,” katanya.
Beliau juga mengingatkan agar rakyat melakukan ujian saringan kendiri sebelum berangkat pulang ke kampung halaman bagi mengelakkan ahli keluarga yang berisiko tinggi dijangkiti virus itu.
Kesimpulannya, peluang dan kelonggaran yang diberikan ini seharusnya bukan menjadi penyebab untuk kita leka dan alpa dalam kemeriahan menyambut Aidlfitiri.
Teruskan mengikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 dan patuhi SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.