Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan 25 mata asas pada 6 Julai lalu dan menjadikan kadarnya ketika ini adalah 2.25 peratus.
Kadar siling dan lantai OPR sekali gus meningkat kepada 2.50 dan 2.00 peratus.
Bank pusat itu berkata pembukaan semula ekonomi global dan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi.
“Bagaimanapun, faktor-faktor ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan tekanan kos yang semakin meningkat, konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.
“Tekanan inflasi terus meningkat disebabkan terutamanya oleh harga komoditi yang tinggi dan keadaan permintaan yang kukuh, meskipun keadaan rantaian bekalan global sedikit reda.
“Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat,” memetik kenyataan itu.
Pada masa hadapan, BNM mengunjurkan kadar pertumbuhan global menjadi sederhana dan akan terus dipengaruhi oleh tekanan kos yang tinggi, konflik di Ukraine, keadaan rantaian bekalan global dan volatiliti pasaran kewangan.
Bagi ekonomi Malaysia, bank pusat itu berkata kegiatan ekonomi terus meningkat pada bulan-bulan kebelakangan ini.
Selain itu, penunjuk eksport dan perbelanjaan runcit mengesahkan momentum pertumbuhan yang positif, disokong oleh peralihan ke fasa endemik.
“Dalam pasaran pekerja, kadar pengangguran terus menurun dengan penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang bertambah baik.
“Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi akan disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh meskipun permintaan luaran dijangka sederhana disebabkan oleh rintangan yang dihadapi oleh pertumbuhan global.
“Selain itu, pembukaan sempadan antarabangsa sejak 1 April 2022 akan menyokong pemulihan sektor berkaitan pelancongan.
“Aktiviti dan prospek pelaburan terus disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun,” katanya.
Bagaimanapun, BNM berkata risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk.
Apa pula kata pakar ekonomi mengenai tindakan BNM ini?
Penganalisis Ekonomi Putra Business School (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata apabila OPR dinaikkan, kos pinjaman meningkat dan perbelanjaan oleh individu serta perniagaan akan berkurangan kerana mereka akan lebih cenderung untuk menyimpan.
“Ini akan menyebabkan permintaan kurang daripada penawaran sekali gus mengurangkan kadar inflasi.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, walaupun OPR akan dinaikkan ke kadar yang lebih tinggi, ia lebih rendah daripada kadar sebelum pandemik iaitu sekitar 3.00 hingga 3.25 peratus
“Oleh itu, ia masih tidak begitu membebankan peminjam terutama golongan B40.
Penganalisis Ekonomi Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin pula berkata, dari perspektif dasar monetari, keputusan BNM itu membabitkan isu untuk mengurus jangkaan tekanan inflasi, mengurus pergerakan modal asing dan mengawal nilai ringgit.
Beliau bagaimanapun berkata, peningkatan OPR perlu dilakukan secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini, yang dijangkakan akan bertumbuh pada kadar 5.3 hingga 6.3 peratus.
Walaupun begitu, kesannya terhadap golongan berpendapatan pertengahan dan rendah tidah dapat dielakkan berikutan penurunan tahap pendapatan golongan berpendapatan pertengahan (M40) yang tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah (B40) dibimbangi akan menjejaskan kualiti kehidupan dan kelangsungan hidup kumpulan tersebut.
Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (AEC), Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, selain itu keupayaan golongan M40 untuk memenuhi komitmen-komitmen tetap termasuk menyediakan keperluan asas dikhuatiri turut terjejas.
“Jadi, itu (kualiti hidup) bagi saya yang paling utama walaupun kita tahu ada kesan ke atas ekonomi secara keseluruhan kerana mereka akan berbelanja secara kurang tetapi bagi saya kesejahteraan dan kelangsungan hidup mereka itu paling utama.
“Kesan ke atas pendapatan ini ia merentasi semua kumpulan. Kumpulan yang dikaitkan T20 juga ada yang jatuh kepada M40, sama juga dalam konteks B40.
“Kalau ikut Jabatan Perangkaan, mereka akan pecahkan kategori B1, B2 dan B3, di mana B1 adalah paling rendah. Jadi bererti pada semua peringkat ada berlaku kejatuhan,”
OPR sangatlah penting dalam dasar monetari Malaysia. Ia akan memberi kesan kepada pelbagai ukuran kewangan seperti kadar deposit, kadar pinjaman, pertukaran matawang asing, dan sudah pastilah faedah pembiayaan perumahan.
Tapi, apakah sebenarnya OPR dan maksudnya dalam konteks pinjaman perumahan dan pemilikan hartanah?
Apakah Kadar Dasar Semalaman (OPR)?
OPR ialah kadar faedah yang ditetapkan bank pusat, Bank negara Malaysia (BNM) yang menentukan kadar faedah untuk institusi kewangan yang meminjamkan wang antara satu sama lain untuk tempoh satu malam.
Dalam operasi harian, rizab wang tunai bank berubah-ubah, bergantung kepada aktiviti peminjaman yang berlaku dalam bank, serta deposit dan pengeluaran wang yang dibuat pelanggannya.
Untuk kekalkan takat rizab tunai pada paras yang sepatutnya (kecairan yang baik), kebiasaannya bank yang ada rizab tunai yang banyak pada hari tertentu akan pinjamkan kepada bank yang kurang untuk pastikan kecairan sistem perbankan kita stabil.
Contoh yang lagi ringkas, katakan anda pinjam wang dari kawan hari ini untuk beli makanan, dan esoknya anda bayar semula. Bezanya untuk institusi kewangan, ada kadar faedah.
Kalau kawan anda minta faedah, anda boleh mula cari kawan lain, contohnya bank.
Tapi memanglah, proses pinjaman dan bayaran semula antara institusi kewangan ni lebih kompleks berbanding pinjam dan bayar amaun kecil antara kita dan kawan-kawan.
Kenapa OPR Penting?
Mungkin aplikasi OPR ni nampak macam muslihat pindah milik dan alir tunai biasa, tetapi keperluan pinjaman dan bayaran pinjaman tunai mengikut hari ni penting untuk sistem kewangan makro berfungsi dengan lancar.
Malah, ia juga beri kesan kepada kadar faedah pinjaman!