Jocelyn Chia, sekali lagi mengundang cemuhan netizen setelah memperlekehkan tindakan kerajaan Malaysia terhadap The 1975 di Festival Good Vibes Kuala Lumpur.
Terdahulu, Jocelyn telah mendapat kecaman meluas atas kenyataannya yang kurang sensitif mengenai tragedi MH370 semasa persembahan komedinya di Manhattan. Isu ini telah membangkitkan kemarahan rakyat dan kerajaan Malaysia serta Singapura sekaligus dilucutkan warganegaranya daripada negara tersebut.
Sebagai tindak balas terhadap perbuatan rasis terdahulunya, kerajaan Malaysia telah bertindak pantas dan tegas dengan mensabitkankan larangan kepadanya daripada kembali masuk ke negara ini. Mengikut bekas Ketua Polis Diraja Malaysia, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memohon bantuan daripada Interpol untuk mendapatkan identiti dan lokasi terkini pelawak itu.
PDRM juga telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 504/505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membabitkan isu-isu berkaitan pengacauan awam dan komunikasi yang menghina melalui platform media. Pihak berkuasa turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menganalisis akaun media sosial pelawak wanita berkenaan.
Walaupun dikritik ramai, Jocelyn kelihatan masih lagi tidak menyesal dan kali ini mempersoal keputusan kerajaan Malaysia yang tidak mengarahkan Interpol untuk turut menahan kumpulan muzik British, The 1975, yang juga telah menjadi kontroversi susulan tindakan kurang ajar mereka semasa persembahan dan sokongan jelas mereka terhadap komuniti LGBTQ+, yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia.
Pelawak kontroversi itu tidak berpuas hati dengan keputusan Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Fahmi Fadzil, yang hanya mengambil tindakan dengan menghentikan persembahan kumpulan itu dan menyekat mereka daripada terus menghiburkan penonton.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, telah mengadakan mesyuarat tergempar dengan penganjur GVF, Future Sound Asia, beberapa hari yang lalu. Hasil daripada perbincangan mereka, beliau telah memberikan arahan kepada penganjur untuk membatalkan festival itu dengan serta merta.
Beliau menegaskan bahawa pendirian Kerajaan Perpaduan adalah jelas dan tidak akan berunding dengan mana-mana pihak yang mencabar, menggugat, atau melanggar undang-undang Malaysia.
Penganjur festival juga diberikan arahan untuk menyediakan pampasan kepada mereka yang telah membeli tiket festival yang sepatutnya berlangsung selama 3 hari.
Mereka menambah bahawa syarikat akan terus memegang polisi yang memerlukan artis antarabangsa yang berentas di GVF untuk menghormati dan mematuhi undang-undang dan garis panduan.
Sementara itu, Fahmi Fadzil turut mengatakan bahawa Puspal telah diminta untuk mengemukakan penambahbaikan yang dicadangkan kepada peraturan yang mengawal kelulusan persembahan oleh artis antarabangsa kepada kementerian pada minggu depan.
Menerusi akaun Twitter peribadinya, Jocelyn melontarkan komen yang merendahkan pentadbiran kerajaan dan menyindir keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa yang dilihatnya tidak konsisten dan tidak adil.
Ciapan tersebut kini telah mendapat kira kira 155 petikan daripada pengguna yang rata-rata menyatakan cemuhan mereka dan telah dibaca sebanyak 49,800 kali.
Berdasarkan analisis di ruangan komen pengguna, didapati majoriti menyatakan kritik dan menyelar kenyataan pelawak tersebut yang dianggap sebagai usaha untuk mengambil kesempatan terhadap kejadian berkenaan.