Sebanyak 42,166 pencari kerja berjaya ditempatkan di pelbagai sektor selain 1,200 pekerjaan baharu berjaya diwujudkan sepanjang Januari tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan itu membuktikan inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran penciptaan 600,000 pekerjaan pada tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion.
“Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia ini merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi yang lebih mampan, di samping memacu usaha pemulihan negara secara berstruktur dan menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara,” katanya.
JaminKerja Keluarga Malaysia merangkumi tiga program utama iaitu JaminKerja Insentif Penggajian, JaminKerja Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP), serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia).
JaminKerja Inisiatif Pengajian akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menyasarkan 300,000 peluang pekerjaan, manakala MySTEP menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan strategik.
Upskill Malaysia pula dilaksanakan HRD Corp dengan menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka serta menjamin penempatan pekerjaan dengan sasaran 220,000 orang pelatih.
Pencapaian ini sekaligus menunjukkan ekonomi negara kini semakin pulih dengan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial.
Terdahulu Majlis Pekerjaan Negara mengadakan mesyuarat bagi membincangkan program dan inisiatif yang telah dan akan dijalankan oleh agensi pelaksana untuk mencipta peluang pekerjaan bagi Keluarga Malaysia.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Majlis Pekerjaan Negara bersetuju dengan penetapan sasaran sejumlah 300,000 penempatan pekerjaan di bawah Insentif Penggajian Jamin Kerja, 220,000 di bawah Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran, dan 80,000 di bawah MySTEP.
Dalam pada itu, kerajaan juga akan menambah baik dan memperkasa ekosistem pekerjaan melalui pewujudan Pusat Penempatan Pekerjaan sehenti yang akan memantau kejayaan setiap permohonan pekerjaan.
“Ia merupakan pelengkap bagi platform MYFutureJobs yang memudahkan majikan menawarkan pekerjaan dan pada masa yang sama membantu pencari kerja untuk membuat pendaftaran dan mendapatkan tarikh temu duga.
“Kerajaan yakin strategi NEC dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran. Selain itu, Kerajaan memandang serius isu-isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang pekerjaan, perlindungan sosial bagi pekerja dan isu kebolehpasaran graduan,” katanya.
Di samping itu, inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia ini turut disediakan kepada golongan belia.
Tambah Ismail Sabri, selain golongan belia, kerajaan juga mengambil berat terhadap kesejahteraan dan kualiti hidup golongan orang kelainan upaya (OKU) melalui Pelan Tindakan OKU 2016-2022 memberi penekanan terhadap aspek penyediaan peluang pekerjaan yang lebih baik.
“Sehingga kini, seramai 36,281 OKU berjaya mendapat penempatan pekerjaan menerusi program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh PERKESO.
“Saya juga berharap program pemerkasaan ekonomi bertujuan menarik penyertaan golongan OKU dalam dunia keusahawanan wajar dipergiat, seiring Aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, sehingga 18 Julai tahun ini, Program JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) dan perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs telah membantu menyediakan jaminan pekerjaan kepada kira-kira 113,672 ahli Keluarga Malaysia.
Namun jelas beliau, disebabkan suasana dunia yang tidak menentu ketika ini, kerajaan setuju melanjutkan tempoh program JKIP yang berakhir pada 30 Jun lalu kepada 31 Disember ini.
Lanjutan Program JKIP ini akan menumpukan kepada pengambilan pekerja dalam kategori mudah terjejas seperti golongan OKU, wanita, individu yang hilang pekerjaan, pekerja dalam sektor pelancongan dan bekas banduan.