Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar memberikan input yang lebih besar dalam penggubalan dasar kerajaan.
Anwar berkata, pihaknya bertemu dengan kepimpinan Jakim baru-baru ini dan mahu mereka membantu melakar rangka dasar pembangunan negara berteraskan Malaysia Madani, lapor Bernama.
Anwar berkata, fungsi Jakim sebelum kerajaan perpaduan ditubuhkan terhad kepada berdakwah, mengadakan latihan dan bersama-sama dengan kerajaan negeri menganjurkan tilawah al-Quran.
“Namun dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12, Belanjawan Madani, dan dalam melaksanakan reformasi institusi kerajaan dan negara, Jakim kurang peranannya,” katanya pada Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 H/2023.
“Saya sebaliknya telah mengarahkan supaya peranan, baik mufti mahupun ulama atau tokoh-tokoh di Jakim, selari dengan perkembangan (semasa) supaya input mereka itu dapat memanfaatkan dan mengangkat martabat kerajaan.”
Beliau berkata, dakwaan bahawa kerajaannya mengabaikan Islam sekadar “fitnah”.
Jakim menerima peruntukan lebih tinggi bawah kerajaan perpaduan dan buat pertama kalinya diberi peranan lebih besar dalam membantu proses penggubalan dasar kerajaan berdasarkan konsep “Malaysia Madani”.
Anwar berkata, kerajaan turut menambah peruntukan kepada JAKIM bagi memperkuatkan institusi berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar meminta umat Islam untuk memanfaatkan mukjizat al-Quran dengan membicarakan soal kemampanan dan sistem nilai yang dianjurkannya tanpa mempertahankan sesuatu yang bertentangan.
“Ini berikutan wujud sanggahan oleh individu tertentu terhadap inisiatif kerajaan termasuk Belanjawan Madani dengan membuat rujukan kepada ayat dalam al- Quran secara tidak tepat.
“Sebab itu saya membicarakan soal wacana yang ada dalam al-Quran itu dalam menjawab tohmahan dengan hujah yang kuat. Ini dilakukan dengan mencabar orang yang membawa idea-idea menyanggah kitab suci itu untuk memastikan kita melakar ataupun menzahirkan sesuatu yang baik.
“Maka dalam negara kita, dalam hal-hal yang sedemikian sepatut kita pertahankan akhlak dan nilai termasuk dalam keadaan kita berbeza pandangan,” katanya.
Tegasnya, tindakan memperkudakan al-Quran untuk melemparkan hujah juga akan merosakkan kemurnian kitab suci itu yang telah dipertahankan para ulama selama lebih 1,000 tahun.
Lanjutan daripada ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di majlis tersebut, beliau dalam satu kiriman di Facebook juga “meminta rakyat agar memberikan ruang kepada kerajaan dalam melakar kerangka dasar pembangunan negara berdasarkan teras Malaysia MADANI.
Apa sahaja gagasan dilontarkan atau prinsip dibicarakan seperti rahmah dan amanah, ia boleh diterima bukan sahaja kepada masyarakat Islam tetapi juga bukan Islam.”