Isu tampar pemain, apa kesudahannya?

Baru-baru ini tular sebuah klip video seorang jurulatih menampar seorang pemain bola tampar bawah 14 tahun.

Insiden ini membawa kepada pelbagai reaksi dari semua pihak.

Adakah anda mengetahui mengenai insiden seorang pemain bola tampar ditampar oleh jurulatihnya baru-baru ini?

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengutuk tindakan seorang jurulatih yang dikatakan menampar dua pemainnya pada satu kejohanan bola tampar yang rakamannya tular di dalam media sosial baru-baru ini.

Kedua-dua pemain berkenaan dipercayai berumur bawah 14 tahun dan bertanding bagi Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 Malaysia 2022 di Johor baru-baru ini.

Hannah berkata, insiden berkenaan tidak wajar berlaku dan pihaknya telah menghubungi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan insiden berkenaan.

“Ini adalah salah. Saya sudah bercakap dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan kami sama-sama sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian berkenaan.

Susulan insiden itu, pihak KPM telah menjalankan siasatan dan berjumpa dengan pihak yang terlibat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pertemuan itu adalah untuk mendapatkan maklum balas ibu bapa pelajar itu berkaitan insiden yang menimpa anak mereka.

“Concern (kebimbangan) kita sangat besar berkenaan isu ini, dan keutamaan kita adalah keselamatan serta kebajikan pelajar tersebut.

“Kita (KPM) dah jumpa ibu bapa pelajar untuk dapatkan maklum balas dan kita tidak akan bertolak ansur soal keganasan terutamanya terhadap pelajar kita,” katanya.

Apa pendapat anda mengenai tindakan jurulatih tersebut kepada pemain tersebut?

Bagaimanapun, jurulatih tersebut sudah pun memohon maaf pada hari kejadian insiden tersebut.

EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, VP Shanmugam, berkata sebenarnya isu berkenaan sudah selesai pada hari kejadian 16 Disember lalu apabila jurulatih terbabit memohon maaf kepada dua pemainnya sejurus tamat saingan separuh akhir.

“Jurulatih yang juga guru sebuah sekolah rendah itu juga sudah menemui kedua-dua ibu bapa pemain berkenaan bagi memohon maaf di atas insiden itu serta menjelaskan perkara yang sebenarnya terjadi.

“Saya anggap perkara ini sudah selesai apabila ibu bapa dan pemain menerima permohonan maaf jurulatih itu secara sukarela dan tidak membuat laporan polis.

“Berdasarkan rekod, ia adalah kejadian pertama berlaku sejak guru itu menjadi jurulatih pemain terbabit sejak di sekolah rendah hingga menengah.

“Dia adalah seorang jurulatih, guru yang amat berdedikasi dan melatih pasukan bawah 14 tahun ini bukan sehari dua, malah sejak sekolah rendah serta menganggap pemainnya macam anak sendiri. Apapun, perbuatan menampar itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Shanmugam berkata, keputusan sama ada menggantung tugas jurulatih berkenaan akan diputuskan selepas mesyuarat pasca EXCO pada Rabu ini.

Katanya, setakat ini tiada tindakan diambil Majlis Sukan Negeri Melaka (MSN) terhadap jurulatih itu meskipun MAVA sudah memutuskan tindakan menggantung guru terbabit dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan.

Adakah anda menyokong tindakan ibu bapa pemain bola tampar tersebut yang tidak mengambil tindakan yang lebih serius ke atas jurulatih tersebut?

Pada masa yang sama, ibu bapa pemain tersebut mahu jurulatih tersebut terus melatih anak mereka.

“Jika nak ambil tindakan, dari hari pertama lagi kami sebagai ibu bapa akan buat laporan polis,” tegas bapa kepada seorang pemain bola tampar Bawah 14 Tahun Melaka yang terbabit dalam kontroversi ditampar jurulatih.

Abdul Halim Bakar, 50, menegaskan beliau tidak berbuat demikian kerana menganggap tindakan jurulatih terbabit sebagai kejadian biasa dalam latihan, selain anaknya juga tidak cedera.

Katanya, beliau juga sudah berbincang dengan bapa seorang lagi pemain yang turut terbabit dalam kejadian itu dan mereka sepakat memaafkan jurulatih berkenaan sambil berharap isu itu selesai serta tidak diperbesarkan oleh mana-mana pihak.

“Jasa jurulatih yang juga guru terbabit amat besar dalam membangunkan sukan bola tampar di Melaka atas inisiatif sendiri bersama rakan-rakannya, selain berjaya mencungkil bakat dan melatih dua anak perempuan saya dari sekolah rendah hingga menengah.