Isu Beras: Apa langkah-langkah yang telah diambil setakat ini?

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Jualan Rahmah Beras di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara Malaysia. Dengan menyasarkan kawasan B40, kawasan perumahan kos rendah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan lain-lain, Beras import tersebut dijual dengan harga serendah RM14 untuk lima kilogram beras.

“Mula-mula kita ada RM100 juta, tapi Perdana Menteri tambah lagi RM50 juta. Disebabkan kita tak ada akses kepada beras tempatan, jadi kami akan beri diskaun harga kepada beras import,” ujar Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh.

KPDN menjalankan Inisiatif ini bertujuan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan tambahan peruntukan RM50 juta daripada Perdana Menteri menjadikan jumlah keseluruhan bagi menjayakan inisiatif ini berjumlah RM150 juta.  Selain itu, KPDN turut mengumumkan usaha untuk menjual beras import dengan harga yang sama seperti beras tempatan. Dengan harga serendah RM14, rakyat Malaysia dapat memenuhi keperluan makanan ruji mereka dengan harga yang lebih menjimatkan. 

Adakah anda mengetahui tentang jualan beras rahmah?

Timbalan Menteri turut menegaskan langkah KPDN untuk memastikan hanya mereka yang layak menerima bantuan Jualan Rahmah Beras sahaja yang dapat membuat pembelian beras berkenaan. Usaha kerajaan ini memang dapat memberi manfaat yang sangat berguna buat rakyat Malaysia yang sangat memerlukan pada saat-saat begini.

Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, stok bekalan beras di Malaysia kini adalah sebanyak 900,000 tan metrik dengan 250,000 tan metrik adalah simpanan stok kerajaan dan 650,000 tan metrik stok dagangan. Beliau menjelaskan bahawa jumlah itu adalah mencukupi untuk menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan.

Apa pendapat anda tentang inisiatif ini?

“Sehubungan itu, KPKM berpandangan bahawa masih belum terdapat keperluan mendesak yang bersifat kecemasan untuk menggunakan stokpail yang berjumlah 250,000 tan metrik.” kata Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Stok dagangan sedia ada sebanyak 650,000 tan metrik adalah mencukupi bagi menampung keperluan domestik,” katanya lagi.

Datuk Seri Mohamad Sabu juga meyakini dengan dasar pengimport beras yang dibuat oleh KPKM ketika ini adalah kaedah yang terbaik dalam menangani cabaran semasa dan mendatang. Dasar ini merupakan “gatekeeping” yang berfungsi sebagai benteng bagi melindungi industri padi dan beras negara daripada ketidaktentuan pasaran antarabangsa.

Selain itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India bagi menyatakan hasrat untuk memastikan negara itu terus mengeksport beras putih kepada Malaysia.

Menterinya berkata, pihak KPKM ingin mengadakan perbincangan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) itu sebagai langkah memastikan bekalan beras putih terus mencukupi buat rakyat negara ini.

“Jika mereka menyekat beras putih secara mengejut, ia membawa kesan kenaikan harga beras di Malaysia ini. Beras basmathi ada, boleh import banyak, tetapi beras basmathi ini mahal.” ujarnya.

Adakah keputusan kerajaan untuk melibatkan perbincangan kerajaan-ke-kerajaan (G2G) dengan India dapat memastikan bekalan beras putih yang berterusan bagi Malaysia dan mencegah peningkatan harga yang mungkin berlaku?

Pada masa sama, beliau berkata, isu bekalan beras putih kini menjadi masalah dunia, namun bekalan beras di negara ini masih mencukupi. Tambahan beliau, MAFS sedang berusaha untuk melakukan tuaian di Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) dalam masa sebulan ini dan hasil tersebut bakal berada di pasaran.