Isu Beras: Apa lagi yang berlaku?

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyiasat dakwaan kewujudan kartel beras, seperti dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Mohd Akmal Saleh beras tempatan bertukar menjadi beras hancur.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pihaknya memandang serius terhadap sebarang aduan berhubung perkara terbabit.

“Kita mengambil perhatian serius terhadap sebarang aduan yang menyentuh kepentingan rakyat.

“Ini sebagaimana siasatan menyeluruh yang telah kita laksanakan, menyentuh dakwaan terkait kartel dalam ekosistem industri bekalan makanan ayam sebelum ini.

Pada pendapat anda, benarkah kartel ini wujud?

“Dalam isu berkaitan dakwaan kartel beras, semalam saya telah mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bersama Bahagian Penguatkuasaan KPDN untuk menghubungi Dr Akmal, bagi mendapatkan maklumat dan sebarang bukti untuk membantu siasatan lanjut.

“Kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Mohd Akmal Saleh mendedahkan mengenai pengkhianatan dilakukan kartel beras dengan mendakwa beras tempatan sudah bertukar menjadi beras hancur.

Beliau menjelaskan, disebabkan beras hancur boleh dijual dengan bukan harga kawalan, maka kartel beras menjual beras standard pada harga beras hancur.

“Jika harga beras tempatan ditetapkan pada RM2.60 per kilogram tetapi kartel ini menjual dengan harga RM3.40 per kilogram apabila menukarkan bil jualan mengikut harga beras hancur.

“Inilah antara pengkhianat yang menekan rakyat di bawah,” katanya pada hantaran dalam Facebook.

Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah membuat operasi bersepadu terhadap pemborong beras sekitar Selangor dan mengambil sampel untuk analisis bagi memastikan tiada kegiatan pertukaran kampit atau mencampurkan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI)

Operasi itu yang diketuai Timbalan Menteri KPKM, Chan Foong Hin, telah mengambil sampel beras mengikut prosedur penguatkuasaan yang ditetapkan dan akan diserahkan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk tujuan analisis.

Operasi itu dilaksanakan kerjasama penguatkuasaan rentas agensi antaranya Penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Pernahkah anda terbeli beras yang dicampur dari mana-mana kedai?

Hasil pemeriksaan awal mendapati semua premis pemborong beras mempunyai bekalan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI), lesen masih sah tempoh dan simpanan beras tidak melebihi had muatan yang dilesenkan.

Mana-mana individu atau syarikat dalam rantaian bekalan beras putih tempatan yang dikenal pasti memanipulasi bekalan barangan itu boleh dikenakan tindakan perundangan mengikut Akta Perihal Dagangan 2001 (Akta 703).

Justeru, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, memberi amaran supaya golongan berkenaan sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil ke atas mereka.

“Mana-mana pihak didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama boleh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta730 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan, jika sabit kesalahan.

“Seksyen berkenaan turut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM250,000 bagi syarikat, jika sabit kesalahan sama,” katanya lagi.

Sebarang maklumat mengenai isu kekurangan bekalan atau kenaikan harga beras boleh disalurkan ke hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya di talian 03-8870 1751/1748/1183 atau WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000.