Hala Tuju Baharu dengan KSP RMK12?

Mesyuarat Khas Perdana Menteri bersama Ahli Jemaah Menteri dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian mengenai Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Putrajaya pada Isnin bersetuju supaya semua pihak perlu bergerak sebagai satu pasukan ke arah mempercepatkan pelaksanaan reformasi dan inisiatif ekonomi yang dirancang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, KSP RMK12 perlu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat susulan daripada perubahan dan cabaran sosioekonomi semasa.

Adakah anda mengetahui tentang KSP RMK-12 ini?

“Sehubungan itu, semua kementerian perlu lebih serius serta bertindak dengan lebih proaktif, agresif dan berani bagi menyelesaikan isu-isu pelaksanaan dasar, terutamanya berkaitan rakyat mengikut lunas perundangan sedia ada,” katanya menerusi satu catatan di Facebook pada Isnin.

Anwar berkata, mesyuarat khas berkenaan diadakan bagi membincangkan hala tuju baharu (2023-2025) yang perlu dibentangkan dalam KSP RMK-12 bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan berada di landasan yang tepat ke arah mencapai agenda Malaysia Madani.

“KSP RMK-12 merupakan dokumen dasar yang signifikan dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara yang seimbang dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan berteraskan nilai-nilai murni,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan memberi tumpuan kepada tiga isu utama dalam memastikan ekonomi negara kekal mampan iaitu memperkukuh kedudukan fiskal, mereformasi struktur ekonomi dan meneliti pelaksanaan gaji progresif, menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara pada Selasa, JPM berkata, keutamaan akan diberikan untuk memperkukuh kedudukan fiskal melalui peningkatan hasil dan melonjakkan pertumbuhan sektor “pertumbuhan tinggi nilai tinggi” serta memastikan kelestarian alam sekitar.

“Penekanan akan diberi untuk mempercepat pertumbuhan dalam sektor strategik yang akan turut menjana pelaburan dalam industri elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri kreatif, pelancongan, halal, biojisim, aktiviti pertanian pintar dan tenaga boleh baharu,” katanya.

Menurut JPM, kerajaan juga terus memberi tumpuan untuk memantapkan ekonomi domestik dengan sektor swasta terus dipacu sebagai rakan pembangunan dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan pelaburan yang berkualiti dan berteknologi tinggi.

Dalam pada itu, JPM berkata, kerajaan sedang merangka naratif ekonomi Madani bagi menjelaskan hala tuju dasar utama Kerajaan Perpaduan bagi mendepani cabaran global dan domestik.

Katanya naratif ekonomi Madani yang bakal dilancarkan pada Ogos akan diselaras dengan beberapa dasar jangka sederhana dan panjang, termasuk Pelan Perindustrian Negara, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

“Di samping itu, tumpuan dasar jangka pendek juga akan diberi melalui Belanjawan MADANI kedua yang akan dibentangkan pada Oktober tahun ini,” katanya.

Adakah anda optimis dengan kemampuan negara untuk mengekalkan kemampanan ekonomi?