Sejak negara beralih ke fasa endemik, masalah kekurangan tenaga kerja bagi hampir semua sektor di negara ini semakin membimbangkan.
Para majikan kelihatan mengeluh mengenai kekurangan pekerja untuk mereka jalankan operasi perniagaan malah bagi yang buntu akhirnya terpaksa menutup perniagaan mereka.
Justeru itu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan kebenaran khas diberikan bagi penggunaan tenaga kerja dalam kalangan pelarian, pekerja asing tanpa izin (PATI) atau banduan membabitkan kesalahan kecil, bagi menampung kekurangan pekerja asing ketika ini.
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pelarian atau pekerja terbabit yang mempunyai kebenaran khas kerajaan itu boleh bekerja terus bagi mengisi kekurangan sedia ada sementara menunggu ketibaan pekerja asing.
Antara sebab mengapa cadangan tersebut dikemukakan adalah kerana laporan menyatakan terdapat kira-kira 168,000 pelarian yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dengan lebih 60 peratus berpotensi untuk bekerja.
Beliau berkata, kalangan masyarakat perniagaan Malaysia membelanjakan banyak masa serta sumber untuk mengisi kekurangan itu yang terbukti belum membuahkan hasil.
“Sejajar peningkatan permintaan dunia terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia, sebarang kelewatan adalah kerugian kepada perniagaan dan kerajaan. Majikan memerlukan pekerja baharu dengan segera untuk membantu usaha pemulihan perniagaan masing-masing.
“Kita perlu mengenal pasti penyelesaian segera bagi menampung keperluan sehinggalah semua isu berkaitan khidmat pekerja asing ini dapat diselesaikan,” katanya.
Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menyifatkan idea untuk menghalalkan pendatang tanpa izin sebagai tenaga kerja boleh membawa kesan yang tidak diingini kepada tenaga kerja negara.
Malah beliau berkata tindakan terbaik sebenarnya ialah menghantar pulang tanpa izin itu ke negara asal mereka jadi tidak timbul masalah terutama membabitkan tenaga kerja negara.
“Ia adalah idea ‘bodoh’ untuk membenarkan (mereka bekerja) sedangkan mereka masuk secara haram ke negara anda, mereka mesti dihantar pulang dan bukan menghalalkan mereka, jika pendatang haram datang ke negara anda dan mereka dihalalkan bermakna kita akan mempunyai lebih ramai pendatang tanpa izin ke negara ini.
“Kita tidak sepatutnya melakukan apa-apa yang menggalakkan pendatang tanpa izin datang ke negara kita,” katanya.
Pendatang asing tanpa izin (PATI) mengakui prosedur untuk masuk ke Malaysia yang mudah menyebabkan rata-rata mereka memilih negara ini sebagai destinasi pelarian.
Dakwaan itu dibuat selepas mereka ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah kondominium pada 3 Jun 2022.
Warga Afghanistan yang dikenali sebagai Mahdi Nazari, 23, berkata, dia memasuki negara ini pada 2019 bagi melarikan diri daripada perang Taliban.
“Kadar rumah sewa di sini juga murah, saya kongsi bertiga bayar sewa RM1,000 sebulan,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi serbuan.
Jelasnya, mereka yang ditahan rata-rata adalah pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Kebanyakan mereka datang secara sah menggunakan pasport namun sampai di sini mereka akan buat kad (UNHCR) untuk terus tinggal di sini.
“Imigresen akan semak semula kad UNHCR itu sama ada tulen atau tidak,” jelasnya.
Apa yang nyata faktor ekonomi, peluang pekerjaan, globalisasi, dasar kerajaan dan pelbagai gambaran kemewahan hidup di Malaysia menjadi ‘magnet’ kehadiran warga asing.
Niat mereka berhijrah ke Malaysia cukup jelas. Mencari kelebihan dalam pendapatan dan mengumpul wang untuk dibawa pulang ke negara asal.
Wang dikumpulkan ini kemudian digunakan untuk membeli tanah, membina rumah, berniaga dan mengubah kemiskinan diwarisi.
Malah ada antara mereka yang dahulunya hanyalah buruh kasar kini sudah mampu memonopoli perniagaan runcit di Malaysia.
Begitu juga pendatang Bangladesh atau Myanmar yang kini berubah menjadi golongan ‘konglomerat’ dengan menguasai perniagaan borong pakaian, perkakasan komputer dan barangan cetak rompak.
Komuniti kecil ini akhirnya menjadi ‘tauke’ yang disegani hingga mampu menguasai kawasan besar dan strategik.
Muncullah Long Tiger, Shoufiullah dan Malik Geng 36 Selayang yang menambahkan masalah kepada penduduk tempatan.
Sekiranya pendatang ‘dihalalkan’, mungkin ianya boleh menyelesaikan masalah kekurangan pekerja ini dalam masa yang terdekat namun implikasi jangka masa panjang juga perlu diambil kira adakah ia akan membawa kepada kebaikan atau hanya akan menyebabkan pelbagai masalah timbul di negara kita di kemudian hari?