GEG: Apakah Strategi dan Pendekatan Alternatif?

Pelan advokasi lima tahun adalah pendekatan alternatif kepada peruntukan generasi penamat rokok (GEG), iaitu mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia bagi memastikan masalah merokok dalam kalangan remaja dan generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya dibendung.

“Sungguhpun peruntukan GEG digugurkan, Kementerian Kesihatan akan melancarkan pelan advokasi lima tahun yang menyasarkan saringan serta intervensi bagi golongan ini dan memastikan mereka terus tidak merokok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

“Program intervensi dan advokasi ini akan diteruskan di peringkat universiti serta di peringkat awam termasuk tempat kerja,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Negara pada 14 Disember.

Apakah pendapat anda tentang langkah intervensi ini selaku alternatif peruntukan generasi penamat rokok (GEG)?

Dr. Dzulkefly berkata, pelan advokasi itu juga berdasarkan kajian pada 2020 yang menyatakan mereka yang mula merokok sebelum usia 20 tahun lebih cenderung menjadi perokok tegar.

Sehubungan itu, kata beliau, adalah penting memastikan kanak-kanak dan remaja kekal tidak merokok sehingga mencapai umur 21 tahun kerana kemungkinan untuk mereka mula merokok selepas umur tersebut adalah sangat rendah.

“Kementerian juga akan memastikan penguatkuasaan berkaitan kebolehdapatan produk merokok dikawal ketat dengan kerjasama agensi penguatkuasaan yang lain.

“Pemantauan dan penilaian bagi RUU ini tetap dijalankan secara berterusan dan diperkukuh. Walaupun peruntukan GEG tidak dimasukkan dalam RUU ini, ia tidak bermaksud kementerian memandang ringan masalah merokok di negara kita, sebaliknya terus mempergiat aktiviti-aktiviti advokasi pencegahan merokok.

“Insya-Allah, pada waktu yang lebih wajar dan sesuai, kita akan kembali menziarahi isu ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan undian suara.

Rang undang-undang yang dibentangkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad itu antaranya memperuntukkan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD).

Pada pendapat anda, adakah institusi kekeluargaan memainkan peranan lebih penting dalam menjayakan generasi penamat?

Ia juga menyaksikan pengguguran peruntukan berkaitan generasi penamat (GEG) iaitu larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Dzulkefly ketika menggulung perbahasan berkata pengguguran GEG daripada rang undang-undang ini adalah keputusan kolektif dan kebertanggungjawaban bersama oleh kerajaan setelah mengambil kira pandangan Jabatan Peguam Negara.

“Berdasarkan pandangan Jabatan Peguam Negara, terdapat isu ketidaksamarataan dan diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan GEG, ini bermaksud memberi layanan yang berbeza terhadap orang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dan mereka yang lahir selepas atau pada 1 Januari 2007.

“Konsep GEG ini akan menyebabkan layanan berbeza terhadap dua kumpulan yang lahir pada tahun berbeza.

“Oleh itu, Jabatan Peguam Negara mempunyai pandangan peruntukan ini boleh dicabar di mahkamah kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.