Umum mengetahui Malaysia menjadi destinasi pilihan pelarian Rohingya untuk mendapatkan perlindungan dan kehidupan yang lebih selamat berbanding negara asal mereka, Myanmar.
Malaysia menjadi destinasi utama mereka kerana lokasi, kemajuan ekonomi, agama Islam dan yang paling utama perasaan selamat di negara ini.
Lambakan etnik itu di sini menjadi masalah setempat yang perlu diatasi sehingga ada yang sudah beranak pinak malah ada yang menjalankan perniagaan dengan hanya menggunakan keistimewaan kad UNHCR.
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mencadangkan agar warga Rohingya yang ditahan di depoh imigresen diberikan pekerjaan sementara.
Menurut beliau lagi, langkah itu pada masa sama memberi peluang kepada pelarian berkenaan menyumbang kepada ekonomi negara buat sementara sebelum pekerja asing diambil dari negara lain.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) beberapa hari lalu mengeluarkan kenyataan akan mengkaji secara mendalam untuk mewujudkan peluang pekerjaan buat etnik Rohingya yang berada di negara ini atas faktor keselamatan.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, kajian itu dibuat bagi mengelakkan lebih ramai pelarian Rohingya datang ke Malaysia.
Bagaimanapun, cadangan dua kementerian itu dibantah oleh Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) kerana langkah itu tidak sesuai dilaksanakan dan hanya akan membebankan kerajaan.
Sejak negara mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) media sosial di Malaysia mula sarat dengan komen dan petisyen anti-Rohingya dengan menuntut pengusiran mereka selain kecaman terhadap video di mana seorang aktivis etnik Rohingya menuntut kewarganegaraan dan hak-hak lain untuk etnik Rohingya yang berada di Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Malaysia telah memberi layanan yang baik terhadap pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan dengan menyediakan makanan dan tempat tinggal kepada mereka.
“Jadi kalau rasa nak bebas, tak perlulah lagi datang ke Malaysia dan kalau mereka rasa mereka tidak dilayan dengan elok, sepatutnya mereka baliklah ke negara mereka,” kata Hamzah.
Untuk makluman, undang-undang imigresen Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian.