Malaysia kini mempunyai potensi besar untuk menjadi lebih berjaya dalam ekonomi halal global.
Eksport barangan halal pada 2021 meningkat 19 peratus kepada RM36.30 bilion berbanding RM30.50 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong.
Beliau berkata, Malaysia merupakan antara pengeluar utama barangan halal di pasaran antarabangsa.
“Industri halal dijangka terus berkembang di rantau Asia Pasifik susulan daripada ratifikasi Malaysia ke atas perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 18 Mac, 2022,” katanya
RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia yang merangkumi 15 negara dengan jumlah populasi melebihi 2.3 bilion atau sekitar satu pertiga daripada jumlah populasi dunia, katanya.
Ban Hong berkata, syarat perlu memiliki Sijil Tempasal untuk menikmati keistimewaan RCEP, seterusnya menarik bukan sahaja perdagangan, malah pelaburan di negara-negara anggota.
“Keahlian negara-negara besar serta negara maju dalam RCEP iaitu China, Jepun, Korea, Australia dan New Zealand serta ASEAN, menyediakan peluang keemasan dalam mempelbagaikan potensi halal,” katanya.
Sementara itu, Ban Hong berkata, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) secara fizikal dan maya menghubungkan hampir 400 pembeli dari 46 negara serta 532 syarikat pengeksport Malaysia setakat ini.
“Format hibrid ini dijangkakan dapat menjana jualan eksport yang lebih memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Program INSP secara maya akan dilanjutkan sehingga 15 Nov depan,” katanya.
Mengenai MIHAS 2022, Ban Hong berkata, jumlah pempamer Malaysia mencatatkan peningkatan ketara termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, dengan jumlah pempamer tempatan menokok 411 peratus tahun ke tahun.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Petunjuk Ekonomi Islam Global turut meramalkan pasaran halal akan berkembang kepada hampir RM14 trilion (AS$3.27 trilion) menjelang 2028, daripada RM8.8 trilion (AS$2.09 trilion) seperti yang dilaporkan tahun lepas.
Ini sejajar dengan pertambahan populasi Muslim global yang kini mencecah 1.9 bilion pada 2021, sekali gus menunjukkan potensi tinggi dalam mempelbagaikan industri halal secara lebih inklusif dan komprehensif dalam jangka masa panjang, jelas beliau.
“Saya juga berasa bangga apabila dimaklumkan dalam tempoh sembilan tahun berturut-turut, Malaysia berjaya mengekalkan tempat teratas berdasarkan Petunjuk Ekonomi Islam Global yang terkandung dalam laporan ‘State of the Global Islamic Economy 2022’, menandingi 81 negara lain,” kata Perdana Menteri.
Penilaian tersebut katanya dibuat berlandaskan inisiatif digitalisasi ekonomi, pembangunan infrastruktur halal dan peningkatan fokus kerajaan terhadap sekuriti makanan dan penjagaan kesihatan.