Kerajaan memperuntukkan pelbagai jenis bantuan tunai yang akan diberikan kepada beberapa kumpulan sasar termasuk penjawat awam, dalam Bajet 2023.
Kerajaan juga bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan pesara Kerajaan sebanyak RM350 pada tahun depan.
Ia termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang akan diberikan secara “one-off” sebanyak RM2,500, bantuan tertinggi pernah diberikan kepada keluarga isi rumah lima anak atau lebih yang mempunyai pendapatan kurang dari RM2,500 sebulan.
Dalam pembentangan Bajet 2023, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, bantuan itu merupakan satu kategori baru untuk keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai.
“Bagi isi rumah sehingga empat orang anak pula, mereka akan layak menerima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000.
“Kepada isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000, BKM yang disediakan adalah antara RM500 hingga RM1,250 bergantung kepada bilangan anak,” katanya semasa pembentangan Bajet 2023.
Bagi penjawat awam, mereka akan menerima bantuan khas kewangan aidilfitri sebanyak RM600 yang akan dibayar pada Mac 2023.
Kumpulan itu turut menerima kenaikan gaji tambahan khas sebanyak RM100 dan bantuan khas kewangan RM600, menjadikan keseluruhan bantuan pada tahun depan sebanyak RM2,500 kepada penjawat awam yang layak.
Selain itu, kredit e-dompet di bawah inisiatif e-Pemula bernilai RM100 diperuntukkan kepada kumpulan M40 berpendapatan tahunan di bawah RM100,000 membabitkan lapan juta penerima.
Pengumuman Bajet 2023 yang masih mengutamakan penjawat awam nampaknya turut mengundang reaksi kurang senang daripada sesetengah pihak.
Tinjauan di media sosial mendapati, netizen melontarkan pelbagai kecaman selain mempersoalkan mengapa golongan itu diberikan terlalu banyak keistimewaan.
Susulan daripada itu juga, orang ramai meminta agar penjawat awam mengubah cara kerja mereka supaya setimpal dengan kelebihan yang diberikan oleh pihak kerajaan.
“Penjawat awam dapat naik gaji, bila nak raya siap dapat bantuan khas lagi. Jadi, kaunter semua kasi bukalah jangan ada 10 tapi buka tiga saja,” kata Yon.
“Banyak dapat tu, harap penjawat awam muka senyum sikit ya masa buat kerja jangan masam mencuka je,” kata Azimi.