Isu ubahsuai kediaman secara haram atau tanpa kebenaran nampaknya semakin panas dengan pendedahan demi pendedahan yang dilakukan ramai.
Jika minggu lalu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah menggunakan jentolak untuk merobohkan binaan tambahan yang dilakukan ubahsuai haram di sebuah unit rumah jenis flat, kali ini lain pula ceritanya di Negeri Sembilan.
Terbaru, seorang lelaki telah membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya diserang kerana mendedahkan ubahsuai tanpa kebenaran ‘rumah kuil’ di Mantin, Negeri Sembilan.
Kejadian itu berjaya direkodkan oleh mangsa menerusi satu video yang kini tular di media sosial. Kejadian berlaku di hadapan rumah kuil yang terletak di Taman Surian, Mantin.
Mangsa dikenali sebagai Halim Hassan juga telah membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan, Majlis Daerah Mantin kerana bimbang dengan ubahsuai rumah berbentuk kuil di sebelah rumahnya itu.
Menurut Halim, rumah seakan berbentuk kuil itu boleh mewujudkan sentimen perkauman dan ketidakselesaan kepada penghuni taman terbabit.
Malah lebih malang buat dirinya, binaan itu bersambung ke kediaman yang didudukinya.
Halim dilaporkan telah membuat laporan kepada Majlis Daerah Seremban (MBS) pada 14 Februari lalu, namun beliau dimaklumkan pihak MBS telah mengeluarkan notis arahan sebanyak tiga kali sepanjang tempoh pengubahsuai dari tahun 2019 untuk memberhentikan kerja ubahsuai kerana dipercayai tidak mempunyai kelulusan.


Tambah Halim, pemilik kediaman tersebut tidak mengendahkan notis tersebut malah dipercayai mencabut tali kuning yang dipasang oleh MBS untuk meneruskan kerja-kerja pengubahsuaian.
Katanya lagi, lebih memeritkan apabila rumahnya mengalami keretakan dan kebocoran akibat kerja ubahsuai di kediaman jirannya itu selain keselamatan serta ketenteraman ahli keluarganya juga terjejas.
“Beberapa dinding di tingkat atas dan bawah retak dipercayai akibat kerja ubahsuai rumah jiran. Malah ada kawasan yang bocor dapat dilihat pada siling dan dinding,” katanya.
Lebih buruk, susulan pendedahan dan laporan yang dibuat Halim, pemilik kediaman berbentuk kuil itu didakwa telah menyerang dengan menumbuk cermin hadapan keretanya sehingga retak.
Dalam pada itu, MBS kini sedang menyiapkan proses dokumentasi bagi mengambil tindakan undang-undang lanjut terhadap pemilik sebuah rumah ala ‘kuil’ di Taman Surian yang didapati melakukan pengubahsuaian kediaman tanpa kelulusan.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, pihaknya mengesahkan menerima aduan daripada jiran pemilik rumah tersebut yang mendakwa tindakan pengubahsuaian berkenaan telah menimbulkan rasa tidak selesa mereka.
“Kami memang telah berikan notis kepada pemilik untuk merobohkan, namun disebabkan tiada tindakan dan pembinaan terus dilakukan jadi kami bawa ke peringkat seterusnya iaitu bagi tindakan undang-undang,” katanya di sini hari ini.
MBS memandang serius atas kerja pengubahsuaian tanpa kelulusan ini. Sebarang kerja ubahsuai bangunan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada MBS terlebih dahulu, lebih-lebih lagi dalam menjaga aspek keselamatan dan mengelakkan gangguan ketenteraman awam yang boleh mencetuskan sensitiviti warga bandar raya yang berbilang kaum.
“Segala tindakan yang diambil bertujuan mensejahterakan keharmonian warga bandar raya,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu pengadu dan beberapa Pertubuhan NGO di DUN Nilai telah membuat sidang media berhubung pembinaan dan ubahsuai rumah bermirip Kuil tanpa kelulusan Majlis Bandaraya Seremban yang menimbulkan keresahan penduduk sejak beberapa tahun yang lalu.
Sementara itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes khianat membabitkan pasangan suami isteri yang juga penduduk di Taman Surian di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, dalam kejadian itu, seorang lelaki melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta pasangan berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mereka.
“Susulan insiden itu, polis sudah memanggil kedua-dua pihak yang terbabit untuk dirakam keterangan.
“Fokus siasatan menjurus kepada kejadian khianat yang dilaporkan dan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya