Isu Rumah Pelacuran: Cadangan Tidak Berasas

Susulan menerima kecaman hebat dari netizen, pelakon popular, Datuk Rosyam Nor menjelaskan bahawa rakaman yang tersebar berkenaan isu rumah pelacuran merupakan video promo untuk program podcast terbitan Suhan Channel.

Rosyam atau nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin, 57, berkata, beliau tidak menyangka video berkenaan menjadi tular.

“Alamak, kecoh satu dua hari ini pasal rumah pelacuran yang kononnya aku buat kenyataan.

“Sebenarnya, itu (video tular) adalah promo untuk program podcast aku di Suhan Channel yang bertajuk ‘Otak Porno’ dan ia adalah perbincangan,” katanya menerusi satu hantaran video di laman sosial, Instagram.

Menerusi rakaman yang viral itu, Rosyam berkata, pusat pelacuran perlu ada untuk mengurangkan kes jenayah seperti rogol dan gangguan seksual melibatkan warga asing.

Pada masa sama, beliau turut memohon maaf kerana atas kecelaruan yang timbul disebabkan tayangan video ringkas.

“Apa-apa hal, aku mohon maaf dahulu. Aku tak sangka benda ini akan jadi viral yang besar.

“Jadi aku rasa baik semua orang kalau ada masa pergi ke Suhan Channel tengok keseluruhan rakaman tentang perkara yang dibincangkan.

Tahukah anda mengenai isu cadangan ini?

Susulan cadangan kontroversi Rosyam Nor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menerusi kenyataan memberitahu cadangan yang diberikan jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah, bahkan secara jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip ajaran Islam dan Maqasid al-Syariah.

“Dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi, kaedah fikah sewajarnya dijadikan panduan.

“Justeru, cadangan untuk membuka rumah pelacuran seperti yang dicadangkan artis tersebut jelas tidak boleh diterima sama sekali dan sewajarnya ditolak oleh segenap lapisan masyarakat,”

Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan polemik mahupun isu yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kementeriannya mungkin akan mengkaji untuk memantau setiap kandungan podcast di negara ini susulan kenyataan kontroversi dikeluarkan Datuk Rosyam Nor.

Mengulas mengenai kontroversi berkenaan, Fahmi menegaskan undang-undang Malaysia tidak membenarkan pembukaan rumah pelacuran kepada warga asing dan kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cadangan yang boleh membawa kemudaratan.

Apa pendapat anda mengenai pemantauan ke atas kandungan-kandungan "podcast" di Malaysia?

Malah, Fahmi bersetuju dengan Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengenai kewujudan rumah pelacuran yang bercanggah dengan hukum Islam.

“Kami belum ada rancangan (pantau content podcast) tapi anda baru saja beri saya idea.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

“Saya sependapat dengan Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar mengenai idea memperkenalkan rumah pelacuran untuk warga asing di dalam sebuah podcast benar-benar tidak boleh diterima.

“Hukum tidak mengizinkan (untuk aktiviti seperti itu). Ini adalah kesalahan daripada pihak Rosyam Nor,” katanya lagi.