Mahkamah Persekutuan menegaskan, isu dalam petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 bukan bertujuan memburukkan agama Islam mahupun melemahkan kedudukan Mahkamah Syariah seperti yang diputarbelitkan pihak-pihak tertentu.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebaliknya berkata, petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman hanya semata-mata berkaitan isu kompetensi Kerajaan Negeri Kelantan dalam menggubal undang-undang syariah.
Sehubungan itu, beliau menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa Mahkamah Syariah akan terkubur berikutan petisyen yang dikemukakan oleh dua beranak itu yang mencabar 18 peruntukan undang-undang dalam enakmen tersebut.
“Kami mengambil maklum dan mengambil langkah membuat pemerhatian kerana isu yang dibangkitkan dalam pendengaran ini telah diperkatan oleh ramai pihak namun ia merupakan versi yang telah diputar belit daripada isu sebenar yang dihujahkan di hadapan mahkamah”
“Isu dalam pendengaran petisyen ini bukan melemahkan agama Islam dan Mahkamah Syariah, tetapi ia adalah berhubung kompetensi kerajaan negeri dalam menggubal undang-undang. Kenyataan bahawa Mahkamah Syariah akan berkubur di Malaysia adalah tidak betul.
“Tanggapan itu salah kerana pendengaran hanya bertujuan mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bukan merendah-rendahkan enakmen dan melemahkan Mahkamah Syariah,” ujar Hakim Tengku Maimun ketika memulakan sidang mendengar petisyen itu.
Beliau menyatakan demikian ketika menegur tindakan seorang peguam Yusfarizal Yussoff yang mengeluarkan kenyataan memutar belit dan mengelirukan ketika menyentuh pendengaran petisyen itu dalam forum umum, September lalu.
Sambil memperbetulkan persepsi peguam itu, Hakim Tengku Maimun berkata, pengamal undang-undang tidak sepatutnya membincangkan isu yang menyentuh sentimen dalam khalayak umum ketika prosiding masih didengar dan belum diputuskan.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta mana-mana pihak termasuk ahli politik tidak ‘menunggang’ notis petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dengan mengaitkannya sebagai agenda mencabar perundangan syariah di negara ini.
Perdana Menteri berkata tindakan sedemikian menyebabkan isu sebenar iaitu sama ada bidang kuasa negeri boleh melaksanakan undang-undang sendiri tanpa berunding dengan Kerajaan Persekutuan diabaikan.
“Padahal substantifnya adalah isu bidang kuasa, adakah negeri boleh buat undang-undang (sendiri) atau harus berunding dengan peringkat persekutuan.
“Ini bukan keputusan substantif soal syariah, ia soal bidang kuasa. Apakah negeri boleh buat (undang-undang)?
– Perdana Menteri
“Kita bayangkan kalau semua negeri buat undang-undang (sendiri dan setiap negeri ada percanggahan,”
Anwar turut menegaskan, tidak wajar untuk mengaitkan kerajaan dengan sangkaan jahat, termasuk didakwa menentang pemerkasaan undang-undang syariah.
“Saya tegaskan perkara ini kerana ada percubaan seolah (mengatakan) kita menentang (undang-undang syariah).
“Kita akan gesa (tindakan segera) dilakukan Menteri Agama, termasuk memberi ruang kepada semua pihak, bukan hanya (pihak) kerajaan tetapi pembangkang, alim ulama dan pihak lain. Ini memandangkan ada persepsi sebahagian orang Islam, seolah ini mencabar perundangan syariah.
Sehubungan itu, kerajaan bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diperakui oleh Majlis Raja-Raja dalam usaha untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata jawatankuasa itu akan meneliti dan berbincang dengan mufti serta semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan supaya ada peraturan yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Perdana Menteri berkata Majlis Raja-Raja juga berminat dan memberi perkenan supaya jawatankuasa itu melakukan kajian dalam meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah terhadap umat Islam dan pada masa sama tidak memberi kesan ke atas golongan bukan Islam.
“Setakat ini nama-nama (individu yang) menganggotai jawatankuasa khas ini sudah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dan prosesnya mereka akan dan mesti berbincang dengan Majlis Agama Islam Negeri dan Kerajaan Negeri sebelum apa-apa perkara dimuktamadkan.
“Ada kaedah perlu dibincangkan kerana ada negeri agak keras, kurang setuju kalau kita langgar prinsip-prinsip yang disebutkan, namun apa sahaja cadangan jawatankuasa ini nanti, haruslah dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja,” kata beliau lagi.