Tahukah anda bahawa rangkaian 5G tidak lama lagi akan mula beroperasi di Malaysia?
Walaupun dua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) mengambil keputusan untuk tidak mengambil kepentingan dalam Digital Nasional Bhd (DNB), kerajaan akan memastikan pelaksanaan 5G di Malaysia berjalan mengikut rancangan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata susulan penarikan dua syarikat tersebut rundingan dengan empat lagi MNO akan diteruskan dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi kerana akan membabitkan pengubahsuaian dalam dokumen perjanjian yang akan ditandatangani.
“Dua MNO buat keputusan untuk tidak menyertai maka kita tidak memaksa (mereka), dan kita akan teruskan dengan yang setuju yang iaitu empat syarikat telco cuma ia sedikit menjejaskan proses menandatangani perjanjian kerana dalam dokumen kerajaan dan Kabinet memutuskan majoriti adalalah pihak swasta sedangkan empat syarikat tadi tidak cukup 50 peratus (pegangan),” katanya.
“Setiap syarikat juga kena kembali kepada Lembaga Pengarah kerana mereka bagi kelulusan berdasarkan lebih 11 peratus langganan, jadi kalau kita tawarkan lebih sampai 15 hingga 16 peratus mereka kena balik semua kepada Lembaga Pengarah, tak boleh jawab ya terus. Jadi kita terpaksa bagi masa,” katanya.
Dalam masa yang sama katanya sebagaimana yang disebut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, tawaran turut terbuka kepada pemain industri lain yang berminat memperoleh kepentingan di DNB.
“Yang penting ialah pelaksanaan (roll-out) 5G mesti kekal lancar bagi memenuhi keutamaan untuk mencapai 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk menjelang 2024.
“Saya tidak mahu bertangguh dan tidak mahu kerana satu dua syarikat mengubah pendirian rancangan kerajaan nak 5G tergendala, jadi kita perlu berjalan dengan lancar,” katanya.
Difahamkan, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd tidak bercadang untuk mengambil kepentingan dalam DNB. Empat MNO iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi.com Bhd, YTL Communications Sdn Bhd (YES) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) masih tetap dengan keputusan masing-masing untuk melanggan saham DNB.
Dalam pada itu, dimaklumkan bahawa pelaksanaan rangkaian 5G kini sedang berjalan dengan pantas, dengan penyiapan Fasa 1 menjelang akhir tahun ini akan meliputi 40 peratus di kawasan berpenduduk.
MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, penyelesaian pemilikan bersama kepentingan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB), yang dijangka dimuktamadkan bulan ini akan membantu mengurangkan kesamaran yang menyelubungi pelaksanaan 5G di Malaysia.
Firma penyelidikan pasaran itu berkata, ia percaya bahawa model rangkaian borong tunggal (SWN) adalah lebih cekap untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G dan penggunaannya di negara ini.
Jelasnya, model SWN yang diteruskan akan dapat mengelakkan risiko seperti kos pampasan, kelewatan yang berpanjangan dalam pelancaran rangkaian 5G, kesan negatif terhadap pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dan meluaskan jurang digital bandar-luar bandar kepada sektor, kerajaan dan negara.
“Secara keseluruhan, dengan kemunculan model SWN untuk penggunaan 5G, pengendali rangkaian mudah alih (MNO) perlu terus membina cadangan nilai perkhidmatan yang menarik untuk mengekalkan bahagian pasaran masing-masing,” katanya.