Adakah anda pernah mendengar mengenai ‘kartel’ sebelum ini?
Tajuk ‘Kartel’ (cartel) di media akhbar mungkin bermula dengan berita Kartel Daging yang mula disiarkan pada Disember 2020.
Kemudian, pendedahan Ketua Polis Negara mengenai wujudnya ‘kartel dalam PDRM’ Mac 2021.
Ini semua sudah tercatat dan sedia ada dalam pengistilahan ‘kartel’.
Dalam merujuk istilah ‘kartel’ melalui Pusat Rujukan Rujukan Melayu DBP, hanya terdapat satu penerangan dengan maksud persatuan antarabangsa pengeluar atau pengusaha sesuatu barangan untuk menguasai pasaran (mengawal harga dsb). Kamus Dewan Edisi Keempat).
“Kartel” baru lahir dalam teks dan tajuk utama berita yang disiarkan di seluruh negara.
Seharusnya label kartel tidak boleh digunakan secara sengaja atau tidak sengaja kepada beberapa kumpulan yang sebelumnya tidak diketahui. Salah satunya ialah dengan definisi utamanya, kartel adalah sekumpulan perniagaan di sektor yang sama yang bersekongkol untuk menetapkan harga.
Ini mungkin menimbulkan persoalan, sejauh manakah atau benarkah ‘kartel’ tersebut wujud?
Kartel kini semakin popular dalam sektor lain bukan sahaja F&B namun kini wujud dakwaan ada kartel dalam rangkaian kedai mamak.
Tindakan melabel segelintir pemilik restoran mamak sebagai kartel yang menindas peniaga baharu bukan sahaja tidak berasas sebaliknya mempunyai agenda menjatuhkan golongan India Muslim di negara ini.
Itu antara kenyataan Naib Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM), Mohamed Azrin Anver Ali berhubung sebuah artikel kononnya peniaga restoran mamak adalah kartel yang telah menjadikan usahawan atau peniaga baharu sebagai mangsa.
Beliau yang juga pemilik restoran mamak berkata, dakwaan kononnya banyak isu membelenggu peniaga baharu jika berniaga menggunakan modal tauke restoran mamak sesuatu yang melampaui batas.
“Beberapa hari lepas, ada sebuah akhbar menerbitkan dakwaan tidak bertanggungjawab dengan melabelkan masyarakat India Muslim yang terlibat dengan perniagaan restoran mamak itu sebagai kartel yang menindas golongan peniaga lain.
“Mana fakta, bukti untuk hujahan ini? Adakah benar dakwaan itu atau penulis itu sengaja menulis sesuatu seperti itu sama ada untuk kepentingan peribadi mahupun untuk melariskan bisnes jualan akhbar? Hentikan perbuatan sia-sia seperti ini kerana umum juga sudah bijak dalam mentafsir semua isu malah banyak lagi maklumat boleh didapati dengan lebih cepat dalam media sosial.
“Untuk makluman masyarakat India Muslim mempunyai sejarah tersendiri di negara ini malah tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa golongan ini juga telah menjadi sebahagian daripada tunjang perkembangan ekonomi di negara ini.
“Kami telah berusaha siang malam tanpa kenal erti susah dalam memajukan perniagaan restoran mamak yang rata-ratanya kekal untuk beberapa generasi malah terkenal dalam kalangan semua rakyat Malaysia sebagai lokasi makan terkenal jadi persoalan saya adakah penulis atau akbar itu sedang melakukan cubaan dalam menutup isu lain dengan membuat dakwaan seperti ini?” soalnya.
“Alangkah baiknya jika ada kenyataan positif dan membina yang mendidik rakyat dalam membantu diri keluar dari belenggu isu-isu seperti ini dan bukannya menulis sesuatu yang tanpa sedikit pun bukti asas, jauh dari realiti sebenar.
“Cubalah banding sedikit dengan negara-negara maju yang lebih positif dalam merencanakan diri dan negara dalam membawa kemajuan, membantu rakyat dan tidak asyik-asyik main isu perkauman. Sekiranya mahu berjaya, tolonglah berubah,” tegasnya.
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) membuat laporan polis berhubung artikel diterbitkan sebuah akhbar media digital bertajuk ‘Ramai jadi mangsa kartel mamak’ pada 24 Mei lalu.
Menurut Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, tindakan itu dibuat agar pihak berkuasa menyiasat penerbitan artikel berkenaan yang didakwa berunsur fitnah.
Tambah Jawahar, dakwaan tersebut dan perkataan yang digunakan sama sekali tidak profesional dan dakwanya mengandungi unsur hasutan.
Dalam artikel yang disiarkan bertajuk ‘Ramai jadi mangsa kartel mamak’ antara lain menyentuh mengenai keputusan kerajaan memansuhkan permit import (AP) serta corak perniagaan berbentuk kartel didakwa dimainkan segelintir pemilik restoran mamak di negara ini.