Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah menggariskan lima bukti Kerajaan Perpaduan memacu Malaysia ke arah yang lebih baik.
Selaku jurucakap kerajaan, beliau membentangkan prestasi itu dalam siri kedua kad laporan Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh tujuh bulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui Putrajaya.
Yang pertama, katanya, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih baik berbanding tahun lalu.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkongsi Kad Laporan Tujuh Bulan Kerajaan Perpaduan (Siri Dua) yang menggariskan bukti terbabit iaitu ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih baik pada suku pertama tahun ini dengan 5.6 peratus berbanding tempoh sama bagi tahun lepas iaitu 4.8 peratus.
Kedua, jumlah pelaburan ke negara ini semakin meningkat berbanding tahun lalu.
“Jumlah pelaburan ke Malaysia meningkat kepada RM71.4 bilion bagi suku pertama 2023 berbanding RM44.7 bilion bagi suku pertama 2022,” menurutnya dalam hantaran itu.
Ketiga, kadar inflasi semakin rendah dan mereda berbanding tahun lalu.
Fahmi berkata, selain itu, kadar inflasi negara semakin rendah iaitu 3.9 peratus bagi suku pertama dan 3.6 peratus bagi suku kedua tahun ini berbanding 3.7 peratus dan 4.2 peratus, masing-masing bagi suku ketiga dan suku keempat pada 2022.
Keempat, kebebasan akhbar pada tahun ini mencatatkan kedudukan terbaik dalam sejarahnya, apabila naik 40 anak tangga berbanding tahun lalu. Beliau berkata, Indeks Kebebasan Akhbar juga bertambah baik dari tangga ke-113 pada tahun lepas ke tangga ke-73 bagi 2023.
Kelima, prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan perniagaan serta infrastruktur yang lebih baik naik lima anak tangga berbanding 2022. kedudukan Daya Saing Dunia naik lima anak tangga kepada ke-27 tahun ini berbanding ke-32 pada tahun lepas.
“Ramai yang kata mereka inginkan kerajaan yang boleh bawa Malaysia ke arah yang lebih baik. Adakah Kerajaan Perpaduan berada di landasan yang betul?
“Terbukti dalam tempoh hanya tujuh bulan, Kerajaan Perpaduan telah mentadbir negara ini ke arah yang lebih baik.