Jika dilihat, perayaan Aidilfitri tahun ini, pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan buat untuk memastikan hari raya kali ini sangat bermakna kepada semua sejak negara dilanda wabak Covid-19.
Gembira bukan kepalang kerana setelah dua tahun menahan sebak dan rindu untuk beraya di kampung halaman kali ini ibarat rakyat benar-benar berhari raya.
Banyak prosedur operasi standard (SOP) sudah dilonggarkan termasuklah saf solat di masjid dan surau kembali rapat, rakyat bebas ke sana sini, sempadan negara dibuka dan berkemungkinan pemakaian pelitup muka juga tak lagi diwajibkan di kawasan terbuka.
Memang beraya sakan kali ni kerana kebanyakan rakyat menerima wang Pengeluaran Khas KWSP sehingga RM10,000 dan tidak cukup dengan itu, perjalanan balik kampung percuma pula.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun beliau merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.
“Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan,” kata beliau.
Walaupun sangat teruja tetapi jangan sesekali terlalu ghairah berbelanja sehingga memudaratkan kehidupan kita kelak. Hal ini sangat penting kerana kita khuatir masyarakat leka dan boros berbelanja menghabiskan semua.
Justeru, dalam situasi seperti ini, rakyat perlu bijak membuat pilihan bersandarkan kepada aspek keperluan dan bukannya kehendak yang selalu dipengaruhi nafsu dan emosi yang sukar dikawal.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, perancangan awal sangat penting supaya seseorang itu dapat berbelanja secara berhemah dan mengikut kemampuan.
“Secara psikologinya, kita akan berbelanja lebih pada bulan Ramadan dan perayaan apatah lagi ia disambut setahun sekali sehingga membuatkan kita berasa tidak kesah untuk membeli sesuatu sempena meraikannya.
“Namun, sebagai pengguna yang bijak, kita perlu membuat kira-kira dan mengukur tahap kemampuan dengan pendapatan diperolehi agar kelak tidak dibebani hutang,” ujarnya.
Namun itu bukan alasan untuk kita membazir dan berbelanja sakan sehingga memudaratkan status kewangan kita kelak.
Tiada keperluan untuk menunjuk-nunjuk atau mahu bermegah-megah pada waktu yang cukup genting seperti sekarang.Harus diingat, musim perayaan tidak boleh dijadikan alasan atau lesen besar untuk kita berbelanja sakan dan boros sehingga lupa keperluan kewangan selepas perayaan.
Justeru, rakyat perlu bijak merancang dari awal Ramadan agar tidak menyesal selepas hari raya kelak. tersebut dan adakah ia benar-benar menguntungkan dan tidak sekadar mengaburi mata pembeli.
Ringkasnya, jangan sesekali ada budaya biar papa asal bergaya sebaliknya ingatlah sebelum kena, berjimat sebelum habis.