BAJET 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjadi perhatian banyak pihak.
Manakan tidak, bajet berjumlah RM372.3 bilion itu antara yang terbesar dalam sejarah dengan perbezaan RM40.2 bilion berbanding Bajet 2022 dengan jumlah RM332.1 bilion.
Antara yang terdapat dalam bajet bersifat 3R iaitu Responsive (responsif), Responsible (bertanggungjawab) dan Reformist (reformis) itu adalah kenaikan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan kenaikan sehingga RM2,500 kepada isi rumah yang berpendapatan kurang RM2,500.
Bagi golongan ibu yang merupakan isi rumah penerima BKM, mereka juga akan menerima bantuan tunai secara one-off sebanyak RM500 sebagai galakan bagi meningkatkan kadar kelahiran dalam masa sama mengurangkan kanak-kanak bantut.
Sementara itu, hampir satu juta pembayar cukai bakal menerima manfaat apabila kadar cukai pendapatan individu bermastautin dikurangkan dua mata peratus di samping kredit e-dompet sebanyak RM100 kepada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) berpendapatan tahunan di bawah RM100,000.
Selain itu, bagi murid sekolah, bantuan sebanyak RM150 disalurkan kepada seluruh pelajar tanpa mengira kelas ekonomi. Kadar tersebut dinaikkan sebanyak RM50 berbanding RM100 sebelum ini.
Dalam masa sama, apa yang perlu difahami oleh semua pihak ialah keperluan untuk Bajet 2023 dibentangkan walaupun ia perlu dibentangkan semula kepada Parlimen selepas PRU-15.
Belanjawan itu amat penting untuk keyakinan pelabur dan rujukan dasar kepada sektor perniagaan serta pelaburan bagi merancang langkah seterusnya, terutamanya mengenai prospek ekonomi negara.
Selain itu, unjuran ekonomi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diterbitkan oleh kerajaan hanya dua kali setahun, iaitu pada Mac dan Oktober setiap tahun, iaitu tempoh yang selaras dengan bulan pembentangan bajet tahun akan datang, kata Kementerian Kewangan.
“Jika Bajet 2023 tidak dibentangkan, ini akan meningkatkan sentimen ketidakpastian yang tentunya akan memberi impak negatif kepada keyakinan pelabur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bajet 2023 juga perlu dibentangkan bagi perancangan kewangan yang teratur, iaitu anggaran pendapatan, peruntukan dan perbelanjaan untuk tahun 2023.
Bantuan Keluarga Malaysia
Kementerian Kewangan berkata, Bajet 2023 juga penting untuk berkongsi dengan rakyat tentang pelbagai langkah yang telah dirancang oleh kerajaan untuk membantu mereka menghadapi cabaran jangka pendek.
Antaranya termasuklah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), inisiatif pengurangan cukai dan rancangan pembangunan jangka panjang untuk menambah baik infrastruktur asas dalam dan luar bandar, pengangkutan awam, pendidikan dan kesihatan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Dengan pembentangan Bajet 2023, kerajaan boleh terus melaksanakannya pada Januari 2023 sebaik sahaja kerajaan dibentuk selepas PRU-15,” katanya.
Perancangan sektor perniagaan, pelaburan
Selain itu, pembentangan Bajet 2023 juga penting sebagai rujukan dasar kepada sektor perniagaan dan pelaburan untuk merancang langkah seterusnya berdasarkan kandungan Bajet 2023, terutamanya mengenai prospek ekonomi negara.
Sebagai contohnya, langkah-langkah program Semarak Niaga bernilai RM45 billion yang menyokong perkembangan perniagaan, merangkumi kemudahan pembiayaan, pelbagai insentif cukai untuk menggalakkan industri strategik, serta pengurusan kewangan dan kedudukan fiskal kerajaan penting sebagai panduan untuk membolehkan sektor perniagaan dan pelaburan merencana pelan perniagaan masing-masing, kata kementerian itu.