Kenaikan harga barang setiap kali menjelang musim perayaan bukanlah perkara baru yang menghantui rakyat Malaysia.
Kehadiran wabak Covid-19 sejak dua tahun lalu menjadikan situasi ini terus membebankan pengguna dan pembeli.
Peniaga juga didakwa mahu mengaut keuntungan semaksimum mungkin ketika permintaan barang meningkat dan ketika ekonomi dalam proses pemulihan dikala peralihan negara ke fasa endemik ini.
Atas sebab ini, individu yang gagal meletakkan tanda harga bagi barangan terkawal boleh didenda sehingga RM20,000.
Berdasarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP), kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2022 telah diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan skim ini akan dilaksanakan dari 26 April hingga 6 Mei.
“Tempoh kuat kuasa bagi Skim ini ialah tujuh hari sebelum perayaan, pada hari perayaan itu sendiri dan tiga hari selepasnya.” katanya ketika mengumumkan SHMMP Hari Raya Puasa 2022.
Skim di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 ini bertujuan menstabilkan harga barangan dan bekalan di pasaran menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Kategori yang terlibat bagi skim ini adalah hasil laut, barangan kering, sayuran dan juga daging. [INFOGRAFIK] 22 barangan harga terkawal (Sumber: Astro Awani).




Sementara itu, Alexander berkata ayam tidak termasuk dalam senarai SHMMP Hari Raya Puasa 2022 adalah kerana Pengeluaran Makanan memutuskan harga runcit maksimum bagi ayam standard telah dikurangkan sebanyak 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM 9.10 yang ditetapkan pada 31 Januari lepas.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit, setelah membuat pemantauan berdasarkan maklumat harga daripada beberapa sumber.
Alexander menegaskan, harga barangan yang ditentukan bagi negeri-negeri adalah dibuat berdasarkan kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.
Selain itu, harga turut ditentukan berdasarkan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta maklumat dan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan.
Peniaga yang gagal mematuhi SHMMP Hari Raya Puasa 2022 boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Kementerian terus komited untuk memastikan Keluarga Malaysia dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini terutamanya selepas negara dilanda COVID19. Permintaan ke atas barangan tertentu juga dijangka meningkat menjelang Hari Raya Aidilfitri pada 3 Mei ini.