Umum mengetahui isu berkaitan kekurangan minyak masak paket kian hangat diperkatakan.
Berikutan krisis makanan dan kos sara hidup yang semakin mencengkam, kerajaan perlu mempertimbang pelbagai perkara sebelum menjalankan penguatkuasaan terhadap penggunaan minyak masak paket bersubsidi oleh peniaga kerana perkara tersebut bukan satu perkara mudah, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Malah kenyataan Perdana Menteri berkaitan ‘Makcik Goreng Pisang’ di laman media sosialnya telah menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab memutarbelitkan fakta kenyataan atas tujuan politik yang cendurung mencalarkan pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini.
“Sebenarnya, minyak paket yang bersubsidi tersebut adalah untuk kegunaan domestik, bukan komersial”
“Namun, apabila peniaga kecil menggunakan minyak berpaket, adakah kita akan saman mereka? Sudah pasti kita tidak sampai hati untuk mengeluarkan saman terhadap peniaga kecil yang menggunakan minyak paket,” menurut kenyataan Perdana Menteri.
“Kerajaan tidak berdiam diri. Insya Allah kita akan lakukan yang terbaik dalam menangani perkara ini,” tegas Ismail Sabri yang mengakui minyak masak ini banyak diselewengkan.
Kata beliau lagi, perniagaan haram yang sangat menguntungkan penyeludup disebabkan harga minyak masak paket bersubsidi terlampau rendah iaitu RM2.50, berbanding harga sebenar RM9 sepaket Kalau penyeludup membawa keluar ke sempadan dan jual dengan harga RM5, sudah untung RM2.50 satu paket.
“Sebab itu kita sedang mengambil tindakan. Daripada punca minyak masak yang dikeluarkan, kita akan audit pengilang-pengilang ini.
“Kita dapatkan butiran siapa pembeli minyak masak ini daripada mereka yang paling senang menyeleweng iaitu ‘repackers’ atau pembungkus minyak.
“Mereka diberi kebenaran untuk membungkus satu tan minyak masak, contohnya, ke mana minyak masak itu dihantar. Jadi kita akan dapatkan butiran kilang-kilang tersebut, siapa penerima minyak masak tersebut,” katanya.
Perdana Menteri juga menegaskan bahasa kerajaan tidak lagi dalam proses kajian tetapi tindakan tersebut sedang dilaksanakan.
“Kita akan dapatkan butiran untuk memastikan tiada penyelewengan.
“Yang kedua, sempadan. Penyeludupan barangan ini dari segi ‘priority’ jatuh ke nombor 5 dan ke 6 . Nombor 1 penyeludupan dadah, diikuti dengan penyeludupan senjata, penyeludupan manusia,dan sebagainya.
“Tetapi setelah berlaku penyelewengan yang begitu teruk, banyak minyak yang dijual ke Thailand dan sebagainya, kita telah keluarkan arahan supaya bukan sahaja penguatkuasa KPDNHEP yang ditugaskan untuk mengawal penyelewangan ini, tetapi pihak polis dan tentera juga akan terlibat dari segi pengawalan supaya minyak ini tidak diseludup ke negara lain.
“Kerajaan tidak berdiam diri, Perdana Menteri tidak boleh dikatakan tidak melakukan apa-apa. Insya Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk negara,” tegas Perdana Menteri lagi.
Perdana Menteri turut berkata kesan positif daripada subsidi yang menyebabkan inflasi negara kekal rendah di Asia Tenggara dan juga mungkin di seluruh dunia.
“Inflasi kita kekal pada 2.8% dan jika subsidi tidak diberikan, inflasi mungkin meningkat kepada 8 hingga 11%.
“Saya bandingkan dengan negara lain, negara jiran kita Thailand 7.7%, Singapura 5.6%, Indonesia 4.40%. Negara lain iaitu United Kingdom 9.1%, USA 9.1% dan EU 8.6%,” katanya.
Ismail berkata, Kerajaan berbelanja lebih daripada RM77 bilion bagi memastikan rakyat tidak terkesan teruk akibat daripada kenaikan harga barang yang berlaku di seluruh dunia.