Angkasapuri Kota Media : Era Baharu Penyiaran Teknologi Digital Malaysia

Media City dengan nama baharunya ‘Angkasapuri Kota Media’ sebuah revolusi bidang penyiaran dan bakal menjadi kebanggaan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu merasmikan kompleks bangunan baharu itu dan memasyurkan nama-nama jalan di sekitar kompleks itu sebagai Jalan Penyiaran, Jalan Lensa, Jalan Frekuensi serta Bulatan Simfoni.

Terletak di Bukit Putra, Angkasapuri, ia mengambil contoh kejayaan projek pembangunan Bandar Media seperti di Dubai, Sydney dan Manchester.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ketika merasmikan Bangunan Angkasapuri Kota Media.

“Media City pada masa hadapan, akan terus dibangunkan untuk menjadi pusat penyiaran negara dengan penyertaan dan kehadiran pelbagai penyiar tempatan di kompleks ini, sebagaimana yang berjaya dilaksanakan di Media City di Dubai, UAE; Manchester, Singapura dan Sydney,” kata beliau ketika berucap merasmikan kompleks tersebut di sini pada Rabu.

Adakah anda tahu mengenai Media City atau nama baharunya Angkasapuri Kota Media ini?

“Ia boleh digarap menjadi satu model penerbitan kandungan kebangsaan sebagaimana yang dipelopori oleh Hollywood di Amerika Syarikat, BBC di Eropah dan industri kandungan di Jepun dan Korea yang berpaksi kepada kebudayaan dan gaya hidup tempatan dengan nilai kebersamaan yang universal,” kata beliau.

Berkeluasan 45.72 hektar, projek ‘Angkasapuri Kota Media’ bermula secara rasminya pada Disember 2016.

Pelancarannya bakal merangsang pertumbuhan ekonomi kreatif negara dan menjadi hab penyiaran di rantau Asia Tenggara.

Kota media berteknologi tinggi itu menggunakan konsep ‘i-building’ mengandungi ‘Building Management System’, yang meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dalam operasi bangunan.

Jika rekaan bangunan ikonik Angkasapuri, membawa konsep “seribu lidah”, rekaan bangunan Angkasapuri Kota Media pula diilhamkan daripada konsep “keris dan tengkolok” yang membawa maksud memartabatkan tradisi dan kebudayaan Melayu, seiring kepesatan pemodenan sektor penyiaran.

Selain mengekalkan bangunan ikonik Angkasapuri dan menaik taraf peralatan produksi studio TV dan radio sedia ada, kota media itu juga dilengkapi kemudahan produksi tambahan seperti studio TV HD dan 4K dan juga mempunyai studio maya dan studio muzik.

Selain itu, studio rakaman Rentak 60 pula adalah tercanggih dan terbesar di rantau pasifik dengan berkeluasan 443.5 meter persegi.

Projek ‘Angkasapuri Kota Media’ juga menyediakan kemudahan tambahan seperti taska, pusat rekreasi, sistem arkib dan garaj van penyiaran yang sekali gus memberikan manfaat besar bukan sahaja kepada organisasi, malah kepada seluruh industri kreatif tempatan dan bidang penyiaran negara.

Infografik Bernama

Ismail Sabri berkata, pembangunan industri penyiaran berhubung rapat dengan tiga komponen utama iaitu perkembangan teknologi, penghasilan kreatif kandungan program, dan ketersediaan infrastruktur serta fasiliti.

Justeru, beliau berkata, pembangunan Angkasapuri Kota Media adalah antara langkah strategik pihak kerajaan untuk menyediakan medium yang kondusif dan ekosistem yang sesuai ke arah merangsang perkembangan dan pembangunan industri penyiaran di negara ini.

Angkasapuri Kota Media ini juga diharap tidak menjadi projek gajah putih. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berharap semua pemegang taruh dan penggiat seni memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan.

Adakah Angkasapuri Kota Media akan menjadi projek ‘gajah putih’?

Angkasapuri Kota Media melibatkan kos keseluruhan RM860 juta meliputi pejabat dan ruang teknikal seluas 62,027 meter persegi itu turut merangkumi sistem peralatan, teknologi dan pemusatan arkib bahan penyiaran.

Kompleks tersebut mempunyai 18 tingkat ruang pejabat, auditorium berkapasiti 1,000 orang, studio rakaman muzik dan studio latihan muzik, tiga buah studio TV (M1, M2 dan M3), ruang parking bertingkat dan plaza serta garaj kenderaan siaran luar.

Ia juga dilengkapi eskalator terpanjang di pejabat kerajaan negara ini iaitu sepanjang 34.5 meter.

Pada pendapat anda, adakah Malaysia mempunyai potensi untuk berkembang meningkatkan imej dan reputasi sebagai pusat media?

“Kejayaan pembangunan Media City ini adalah contoh kejayaan kerjasama sektor awam dan swasta yang akan diteruskan untuk projek pembangunan lain dalam pelbagai bidang,” katanya.

Projek itu memaparkan kerjasama strategik dan efektif bersama awam dan swasta dalam memastikan Malaysia membangun dengan jayanya serta memberi manfaat kepada semua pihak.

Ismail Sabri dalam masa sama memberi jaminan, kerajaan akan sentiasa menyokong inisiatif yang bersifat mesra rakyat dan mesra pemegang taruh dalam usaha memenuhi kehendak rakyat dan menyempurnakan amanah rakyat, di samping memberi pulangan positif kepada negara.