Belia Melayu yang terlibat dalam aktiviti seks bebas kini semakin membimbangkan. Ini kerana semakin ramai belia di negara ini melakukan hubungan seks secara aktif, termasuk mereka berusia di bawah 22 tahun, berbanding enam tahun lalu.
Tinjauan Kesihatan Seksual dan Kesejahteraan Hubungan Intim Durex Malaysia mendedahkan, kajian secara atas talian membabitkan 1,089 responden berusia di antara 18 hingga 30 tahun dengan 51 peratus ialah belia Melayu, dijalankan pada April dan Mei lalu.
Hasil kajian mendapati 35.4 peratus belia mengakui pernah melakukan hubungan seks, iaitu meningkat hampir 20 peratus, berbanding kajian pada 2016.
Berdasarkan kajian sama pada 2016, hanya 18.8 peratus belia mengakui pernah melakukan hubungan seks.
Sementara 62 peratus belia pula mengakui pertama kali melakukan hubungan seks pada usia 22 tahun ke bawah, berbanding 42 peratus pada 2016.
Pengarah Pemasaran Reckitt Benckiser, Tiffany Tang, berkata hasil kajian juga mengesan salah faham yang meluas terhadap jangkitan seksual dan kehamilan.
Beliau berkata, ini terbukti apabila 31 peratus responden mengakui tidak mengetahui perempuan boleh mengandung pada kali pertama melakukan hubungan seks.
“Selain itu, peratusan sama juga masih percaya mitos wanita tidak boleh hamil sewaktu tempoh haid.
“Kajian ini juga mendedahkan tahap pemahaman masyarakat mengenai cegah hamil, jangkitan seksual serta stigma dan persepsi berkaitan seks,” katanya.
“Kita mengharapkan lebih banyak perbincangan berkaitan seks dan seksualiti diadakan secara terbuka dalam usaha mewujudkan ruang selamat kepada golongan belia.
“Ini penting supaya mereka tidak takut berkongsi pengalaman dan sekali gus boleh mendidik diri untuk bertanya soalan berhubung seks.
“Justeru itu, kita melancarkan kempen #cometogether bagi memberikan nasihat, maklumat bersesuaian dengan usia dan kemahiran diperlukan mereka supaya lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan,” katanya.
Apakah faktor yang menyebabkan statistik yang merungsingkan ini terjadi?
Pengaruh media sosial serta aliran liberal yang mempromosikan gaya hidup bebas menjadi antara punca semakin ramai individu di bawah usia 22 tahun melakukan seks.
Selain itu, terdedah kepada industri hiburan tanpa kawalan serta kurangnya pengisian agama di dalam diri menjadi penyebab ramai yang terdorong untuk terus bebas tanpa dibatasi hukum hakam agama.
Aktivis sosial Datuk Hishamuddin Hashim berkata, faktor kurangnya perhatian daripada ibu bapa juga menjadi pencetus kepada keadaan itu dan ia berlarutan sehingga anak-anak meningkat remaja.
Hishamuddin berkata, perubahan di dalam budaya keluarga Melayu itu sendiri yang mendorong anak-anak gemar memilih untuk mempunyai pasangan atau berkongsi kandungan kreatif menerusi media sosial.
Sementara itu, pendakwah bebas Dr Mohd Sukki Othman berkata, penggunaan pelbagai aplikasi ketika ini perlu dikawal dengan penguatkuasaan yang tegas demi kepentingan semua pihak.
Katanya, dengan kemampuan yang ada, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu tampil dengan mekanisme tertentu terutama bagi memberi pilihan kepada pengguna.
Sementara itu, seorang lagi aktivis masyarakat Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, gejala seperti ini amat bahaya kerana ia seperti sudah menjadi trend anak muda lebih cenderung melakukan seks bebas sebelum perkahwinan.
Katanya, ia petanda jelas masalah sosial semakin meruncing.