Budaya masyarakat berkembang seiring dengan kemajuan teknologi dan media baharu, khususnya semasa era negara dilanda wabak Covid-19. Tanpa perlu melibatkan diri dalam platform penyiaran tradisional seperti radio dan televisyen, media sosial memberi ruang kepada individu untuk mengumpulkan pengikut, meraih populariti, dan membuat wang sampingan melalui saluran mereka sendiri. Terdapat kira-kira 4.2 billion pengguna media sosial aktif di seluruh dunia.
Selain daripada pelbagai faedah yang mungkin diperoleh daripada penggunaan media sosial, adakah terdapat sebarang risiko yang mungkin dihadapi oleh pengguna jika platform tersebut tidak digunakan secara bertanggungjawab? Media sosial juga berpotensi menjadi platform untuk tindakan jenayah, penipuan, fitnah, maksiat, kebejatan akhlak serta terpengaruh dengan trend dan gaya penampilan yang mengubah budaya, nilai dan norma kehidupan masyarakat.
Contohnya dalam kes Zul Ariffin yang memaparkan video adegan kurang sopan di akaun Instagram miliknya. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) lantang bersuara menentang keras isu penularan itu. Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata penularan rancangan sedemikian yang secara terang-terangan menggambarkan tingkah laku itu diharamkan oleh Islam, seperti perbuatan maksiat dan adegan tidak bermoral melampaui batas yang terpesong dengan norma masyarakat dan hukum syarak.
“Jakim menggesa semua pihak sama ada stesen penyiaran, penerbit, penulis skrip dan pelakon lebih cakna dan mengelakkan isu seumpama ini kerana ia menyerap masuk ke dalam jiwa masyarakat khususnya golongan remaja dengan budaya dan norma yang bersalahan dengan ajaran Islam dan amalan murni masyarakat Malaysia,” katanya.
Tular juga kejadian ‘kemarahan’ seorang wanita bernama Kak Long di kedai 7Eleven yang masih menjadi pertikaian netizen sehingga kini. Bermula dengan isu yang cuba mempertahankan anaknya yang dituduh mencuri di 7E hinggalah perlakuan biadap di KFC, Kak Long telah dijemput untuk menjadi tetamu undangan di salah satu stesen televisyen tempatan, TV Alhijrah.
Di sebalik permohonan maaf terbuka, tindakan netizen membalas “kemarahan” wanita itu tidak henti-henti. Keputusan TV Alhijrah menjemput Kak Long 7E didakwa bermotifkan keinginan untuk mencontohi rancangan Melodi yang mementingkan populariti semata-mata. Setelah mendapat pelbagai kecaman dan teguran, TV AlHijrah bertindak untuk menangguhkan siaran episod tersebut.
Akhlak adalah antara perkara yang kita perlu ambil perhatian serius pada waktu dan ketika ini. Kita tak mengharap semua orang berakhlak mulia, tetapi cukuplah dengan tidak berakhlak buruk & menjengkelkan. Apa yang kita tonjolkan khasnya di media sosial dilihat banyak pihak khususnya anak muda remaja belasan tahun & kanak-kanak seawal usia 4-5 tahun. Apabila mereka melihat akhlak yang tidak baik di media sosial, mereka akan merasakan apa yang dilihat adalah betul ataupun inilah ‘trend’ yang orang suka tengok jadi mereka akan menjadikan sebagai contoh atau ikutan.
Selain itu, sifat malu juga menjadi benteng yang mengawal gerak-geri dan perlakuan manusia termasuk di media sosial. Perbuatan maksiat yang berterusan apatah lagi dilakukan secara terbuka akan menghilangkan perasaan malu sedangkan malu itu mencegah seseorang daripada melakukan amalan yang buruk.
Usahawan jamu sensasi Kak KM sering mengundang kontroversi berhubung penampilan seksinya di media sosial. Kak KM telah memuat naik satu video di laman Instagram ketika berada di sebuah restoran mewah di Kuala Lumpur. Rakaman berdurasi 50 saat itu memaparkan Kak KM yang mengenakan penampilan dress merah jambu sedang menyusukan anak bongsunya iaitu Cinta Carissa.
“Elok-elok Allah sudah tutup aib seseorang, dah tersebar dan ada yang diri sendiri yang menyebarkan & buka aib. Orang yang Allah dah tutup aib tapi buka aib sendiri ni Allah tak ampunkan ya tuan puan” (Menurut petikan Ceramah Ustaz Wadi Annuar).
Justeru setiap individu Muslim harus melengkapkan diri dengan sifat bertanggungjawab serta kesedaran yang tinggi dalam penggunaan media sosial. Walaupun berinteraksi secara maya di media sosial, kewajiban memelihara akhlak, menjaga batasan aurat dan pergaulan, memelihara keaiban, maruah, hal-hal kerahsiaan dan peribadi harus sentiasa dititikberatkan.
Ibu bapa, keluarga, institusi pendidikan dan masyarakat perlu sentiasa menyampaikan pengetahuan dan kesedaran supaya menggunakan media sosial secara berhemah. Peraturan dan undang-undang khusus perlu dikuatkuasakan, ibu bapa perlu mewujudkan masa berkualiti bersama anak-anak seperti berkongsi tentang isu semasa dan keselamatan serta mendengar kebimbangan dan pertanyaan. Dalam konteks pengawalan, ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak-anak di media sosial.
Hakikatnya, media sosial hanyalah medium bagi mencapai matlamat untuk menyebarkan sebanyak mungkin kebaikan dan bukannya keburukan kepada seluruh umat manusia.