Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bukan hanya beliau yang menolak gaji sebagai Perdana Menteri sebaliknya ia turut dilakukan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong menolak gaji yang diberikan kerajaan sejak negara dilanda pandemik Covid-19.
“Jadi saya ingat eloklah kita berikan penjelasan ini kerana itu sumbangan yg dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong memandangkan masalah ekonomi menekan kehidupan rakyat,” katanya.
Menurutnya, dasar itu akan disemak semula selepas ekonomi negara kembali pulih.
Katanya, langkah itu menunjukkan kerajaan perpaduan pimpinannya cakna dengan permasalahan rakyat.
Anwar sebelum ini menetapkan pendirian untuk tidak menerima gaji bagi jawatan Perdana Menteri sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat terutama terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinannya.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan tidak akan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri malah, semua Jemaah Menteri juga bersetuju menerima potongan gaji sebanyak 20 peratus sebulan.
Sementara itu, Anwar menyatakan keyakinan pemimpin parti politik Kerajaan Perpaduan akan menyokong usul undi percaya terhadapnya pada persidangan Parlimen 19 Disember ini.
“Ketua parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan beberapa parti lain telah beri komitmen.
“Insya-Allah, kita dapat teruskan dengan baik…minta doakan sebaiknya,” katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin akan memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat ketika usul undi percaya itu dibentangkan pada persidangan Parlimen itu, Isnin depan.
Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Disember ini.