Malaysia terus berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu ke persada dunia. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kedua rantau Asia Tenggara (ASEAN) untuk memartabatkan bahasa kebangsaan di mata dunia.
Ini bukanlah kali pertama Malaysia mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di ASEAN. Bekas Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak sebelum ini pernah membuat cadangan yang sama pada tahun 2017, tetapi tiada perjanjian kerana negara anggota lain jelas tidak berkongsi aspirasi yang sama.
Belajar daripada percubaan awal dahulu, Perdana Menteri kini menggunakan istilah “bahasa kedua”dengan menjadikan cadangan ini lebih sesuai daripada cadangan sebelum ini untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai “bahasa utama” ASEAN.
Pengenalan “bahasa kedua” bermaksud Malaysia berharap dapat mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa kerja tambahan ASEAN tetapi tidak menggantikan bahasa Inggeris sama sekali
Selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.
Memandangkan situasi ini, beliau berkata tiada sebab untuk tidak boleh jadikan Bahasa Melayu sebagai satu bahasa rasmi ASEAN.
“Kita akan selaraskan perkara ini dan saya akan bincang dengan pemimpin negara ASEAN yang memang menggunakan Bahasa Melayu, supaya mereka bersetuju jadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN;” katanya.
Kementerian Luar akan menyediakan latihan penterjemahan kepada pegawai di luar negara bagi melahirkan pegawai berkemahiran tinggi dalam Bahasa Melayu di luar negara.
Selain itu, beliau berkata Kementerian Luar juga akan mewujudkan Unit Bahasa dan Kebudayaan di setiap pejabat kedutaan negara, selain menyediakan kelas Bahasa Melayu untuk pegawai dan anak mereka yang berada di luar negara.
Ismail Sabri turut mencadangkan, pegawai yang mempunyai kemahiran menterjemah dan berupaya membantu negara dalam urusan penterjemahan dalam urusan rasmi kerajaan, akan diberikan elaun khusus.
Bagaimanapun, cadangan Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua rasmi ASEAN tidak diterima baik oleh negara jiran, Indonesia.
Menurut Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim, bahasa Indonesia lebih wajar dijadikan sebagai bahasa rasmi rantau Asia Tenggara itu.
Menurut Nadiem, dengan mengambil kira kelebihan sejarah, undang-undang dan linguistiknya, bahasa Indonesia lebih wajar dijadikan sebagai bahasa kedua ASEAN.
“Walaubagaimanapun, atas keinginan rakan jiran kita untuk mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN, sudah tentu hasrat ini perlu dikaji dan dibincangkan lebih lanjut di peringkat serantau,” katanya.
Malaysia mempunyai peranan penting dalam melakarkan hala tuju masa depan ASEANkerana ia menerajui Pasukan Petugas Peringkat Tinggi (HLTF) dalam Wawasan Komuniti ASEAN 2025.