Adakah Anda Mempunyai Simpanan Mencukupi Untuk Usia Persaraan?

Kalangan warga Malaysia perlu memanfaatkan peluang menambah caruman wajib skim persaraan sedia ada dan mewujudkan portfolio pelaburan berasingan sebagai simpanan sokongan serta saluran pendapatan.

Ketua Cadangan Persaraan, Strategi dan Transformasi Manulife Investment Management Elvin Tharm berkata tindakan sedemikian dapat memberi jaringan keselamatan tambahan serta fleksibiliti pengurusan kewangan apabila bersara kelak.

“Jangkaan cabaran dalam senario makro bagi tempoh terdekat dan panjang hanya mewajarkan lagi keperluan bagi orang ramai untuk melabur seawal mungkin. Mereka juga harus kekal melabur walaupun selepas bersara demi memastikan adanya saluran pendapatan yang mampan dan boleh dimanfaatkan apabila diperlukan kelak,” katanya pada sesi Taklimat Media Siri Persaraan Manulife IM Diverse Asia secara maya, hari ini.

Adakah anda setuju kita perlu melabur selepas bersara?

Elvin turut menyifatkan Unjuran Pendapatan Persaraan itu sebagai mekanisme yang dapat membantu orang ramai membuat unjuran mengenai jangkaan pendapatan persaraan bulanan berdasarkan maklumat seperti usia, gaji dan aset boleh dilabur sedia ada, termasuk caruman wajib untuk skim pelaburan persaraan.

“Ini membolehkan pengguna melihat bagaimana jangkaan pendapatan persaraan itu memberi perubahan di pelbagai peringkat kehidupan. Mereka dapat mengenal pasti jurang kewangan serta tindakan yang perlu diambil bagi memastikan dapat mencapai kehidupan persaraan yang diinginkan,” katanya.

Sikap kebanyakan individu di negara ini yang tidak merancang kewangan termasuk boros dalam perbelanjaan bakal menyebabkan kehidupan pada hari tua mereka terseksa.

Malah, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP), Nurhisham Hussein mendedahkan, individu yang bersara dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang memerlukan simpanan sebanyak RM900,000 sehingga RM1 juta.

Bagi individu yang akan bersara di Kuala Lumpur dalam tempoh beberapa tahun lagi memerlukan sekurang-kurangnya RM600,000.

Adakah Unjuran Pendapatan Persaraan ini begitu penting?

“Rakyat di Malaysia dan juga di serata Asia, berdepan situasi mencabar dalam merapatkan jurang tersebut. Keadaan lebih sukar dengan situasi seperti inflasi, kos perubatan dan kos sara hidup yang meningkat dan menyebabkan pendapatan serta simpanan tunai mereka terus berkurangan,” katanya.

Kaji selidik secara dalam talian oleh Manulife baru-baru ini menunjukkan majoriti rakyat Malaysia lebih suka mengekalkan pegangan tunai berbanding simpanan dalam bentuk pelaburan.

Anda pula bagaimana? Lebih memilih mengekalkan pegangan tunai atau simpanan dalam bentuk pelaburan?

Beliau juga mengingatkan bahawa mereka yang bergantung kepada simpanan tunai semata-mata sebaik mencapai usia 60 tahun, sebaliknya berisiko untuk berdepan kekurangan wang.

“Ini membuktikan kepentingan untuk orang ramai merancang aspek kesejahteraan kewangan masing-masing sebagai cara terbaik dalam memastikan adanya pendapatan sampingan ketika bersara,” katanya.

“Pelabur perlu mepertimbang strategi aset yang berorientasikan jangka panjang dan pelbagai apabila merancang untuk persaraan.

“Tindakan sedemikian membolehkan mereka mendapat serta merebut peluang pendapatan mampan daripada aset yang boleh memberi pulangan tinggi selain peningkatan modal yang merentasi geografi serta mampu memberi pulangan sebenar,” katanya.