Setelah lebih 10 tahun menunggu, Hospital Bera yang begitu dinantikan oleh 150,000 penduduk di sini, siap dibina dan telah pun beroperasi 1 Julai lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau sempat meninjau perkembangan pembinaan hospital ini pada Oktober tahun lalu yang ketika itu sudah siap 98 peratus selepas terbengkalai sejak sekian lama akibat kegagalan kontraktor.
“Saya sebut akhirnya sebab ia (pembinaan) terlalu lama, mungkin paling lama di dunia,” katanya.
“Alhamdulillah hospital yang mula dibina pada 2010 ini berjaya juga disiapkan, akhirnya.
Katanya, hospital ini dimulakan pembinaannya sejak Oktober 2010 dan melalui beberapa kontraktor selepas kontraktor yang membangunkan hospital ini pada 2012 gagal menyiapkannya walaupun sudah mencapai 57 peratus.
“Selepas itu, kontraktor penyelamat yang dilantik juga tidak berjaya menyiapkannya dan pada Disember 2020 selepas menamatkan kontraktor penyelamat, pembinaan hospital telah mencapai sebanyak 93 peratus.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, terdapat halangan pada projek hospital tersebut ekoran ramai pekerja dijangkiti Covid-19 hingga menyebabkan kerja-kerja pembinaan dihentikan sementara waktu.
Ujarnya, akibat pertukaran kontraktor, kos projek pembinaan hospital berkenaan telah meningkat kepada RM130 juta berbanding kos permulaan RM88 juta.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, individu bertanggungjawab untuk mendapatkan hospital itu adalah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah.
“Insya-Allah, hospital ini akan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 penduduk di daerah Bera dan sekitarnya bagi mendapat rawatan kesihatan dengan pantas dan selesa.
Tambah Ismail Sabri, hospital tersebut juga menempatkan empat blok klinikal termasuk kecemasan namun beliau melihat keperluan klinik dialisis wajar diwujudkan.
Ismail Sabri juga memberitahu, seramai 480 jawatan bakal diwujudkan bagi keperluan hospital tersebut.
“Selain itu, hospital ini dibina atas keluasan tanah kira-kira 33 ekar (13.35 hektar) dan ada baki tujuh ekar (2.83 hektar), selebihnya akan digunakan untuk menambahkan kuarters dan klinik pada masa akan datang,” tambahnya.
Satu dewan bedah dengan anggaran kos RM9 juta akan dibina di Hospital Bera bagi melengkapi kemudahan sedia ada di fasiliti kesihatan berkenaan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
“Hospital Bera mempunyai kapasiti 40 katil dan boleh diperkembangkan hingga mampu menampung 60 katil pada masa hadapan.
“Di samping itu, hospital ini juga bakal menyediakan perkhidmatan pesakit luar, pesakit dalam, dianogstik dan rawatan, perkhidmatan sokongan perubatan, dan perkhidmatan sokongan bukan perubatan,” katanya.
Menurutnya, Hospital Bera juga dipilih sebagai fasiliti yang melaksanakan projek rintis bagi beberapa teknologi dan konsep kolaboratif, antaranya teknologi robotik dalam penyampaian perkhidmatan penghantaran makanan dan sampel makmal.
Jelasnya, kerjasama awam dan swasta itu memberi manfaat kepada kira-kira 31,000 penduduk di tiga kawasan berkenaan yang ingin mendapatkan rawatan pergigian asas seperti sapuan florida, penskaleran, tampalan, cabutan dan juga gigi palsu.
Mengenai projek fasiliti kesihatan lain di Pahang, beliau berkata, dua lagi fasiliti dijangka dapat disiapkan tahun ini, iaitu klinik kesihatan dengan kuarters Bandar Raub, yang dijangka siap awal bulan depan dan projek naik taraf bangunan hemodialisis di Hospital Raub yang dijangka siap awal November.
Beliau berkata, pembukaan Hospital Bera adalah bukti kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam membangunkan dan menyediakan kemudahan kesihatan untuk ‘Keluarga Malaysia’ untuk menikmati kesihatan yang baik dan perkhidmatan yang berkualiti.