Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memperuntukkan sebanyak RM150,000 di bawah inisiatif Peningkatan Produktiviti Ternakan Bebiri kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Medan pada Rabu lepas.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, PPK Sri Medan telah menunjukkan peningkatan yang baik dengan mencatatkan keuntungan sebanyak RM 548,361 untuk tahun yang berakhir pada tanggal 31 Desember 2020,
Keutamaan telah diberikan kepada pemeliharaan ruminan kecil secara komersial bagi mengurangkan kos pengeluaran, menternak secara integrasi di dalam kebun atau ladang getah, kelapa sawit atau tanaman utama lain bersesuaian dengan Dasar Pertanian Negara.
Aktiviti ini akan dan sedang ditumpukan di kawasan berpotensi seperti ladang-ladang FELDA, FELCRA, RISDA dan termasuk ladang-ladang swasta serta kebun persendirian.
Antara kebaikan sistem integrasi ini adalah ianya dapat menyuburkan tanaman di ladang, mengurangkan kos pengawalan rumpai antara 20 hingga 30 peratus selain memberikan hasil pendapatan sampingan lumayan kepada peladang.
Di bawah PRIHATIN, Dana Khas Projek Makanan Pertanian Pertubuhan Peladang berjumlah RM200,000 turut diberikan kepada petani di seluruh negara bagi membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan telah dimanfaatkan oleh keseluruhan golongan sasar agromakanan.
Kerajaan juga sedang menilai dasar sedia ada bagi meminimalkan kebergantungan terhadap import makanan ternakan haiwan dalam usaha memastikan sumber bahan mentah serta input pertanian dalam negara mencukupi.
Terbaru, Malaysia menarik balik larangan untuk mengimport lembu dan kerbau dari Thailand sebagai langkah pengawalan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD). Keputusan ini dibuat selepas kita menggantung import sejak 8 Jun lalu.
MAFI turut memperluaskan skop kegiatan Pertubuhan Peladang dan peladang seterusnya mengurangkan pembaziran akibat daripada lebihan bekalan.
Langkah ini diharapkan dapat membantu dan menggerakkan para peladang dan usahawan peladang menjalankan kegiatan ekonomi dengan lebih giat dan yakin lagi terutama dalam memproses makanan bagi memastikan kelestarian pengeluaran makanan yang terjamin.