Kempen ‘Ini Batik Malaysia’ Lonjak Industri Kraf

Antara koleksi batik diperagakan sempena Hari Batik Malaysia baru-baru ini

Batik Malaysia sememangnya sangat cantik apabila digayakan dalam apa jua majlis.

Buatannya yang berkualiti, seni lukisannya yang kreatif membuatkan batik Malaysia terkenal di seluruh dunia.

Justeru itulah, Pelancaran logo Batik Malaysia hasil daripada usahawan kraf berdaftar dengan Kraftangan Malaysia adalah satu inisiatif untuk mengangkat keaslian produk batik di negara ini.

Tahukah anda Batik Malaysia merupakan salah satu kraftangan tradisional yang terkenal dan mula diperkenalkan di Kelantan awal abad ke 19?

Ia dilancarkan bersempena Sambutan Hari Batik Malaysia pada hari ini di bawah Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi berkata, pihaknya di Kementerian amat menyokong kempen produk kraf sebegini dalam usaha membantu melonjakkan permintaan produk kraf tempatan.

SARAYA (tengah) dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli (kanan) pada perasmian Majlis Sambutan Hari Batik Malaysia di Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Kempen Ini Batik Malaysia yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Batik Malaysia 2022 bermula 1 Julai lalu turut memberi impak positif kepada industri kraf negara terutama batik secara keseluruhan.

Produk Batik Malaysia itu kini boleh didapati melalui platform pemasaran digital MYCRAFTSHOPPE, media sosial di Facebook E-Kraf Bazar dan portal KARYANEKA iaitu www.karyaneka.com.my.

Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Saraya Arbi berkata, dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu, industri batik memperlihatkan peningkatan jualan sebanyak 78 peratus.

Adakah anda setuju peningkatan industri batik di negara kita membuktikan inisiatif yang dilaksanakan ini berjaya merancak dan melonjakkan pencapaian industri kraf batik khasnya dan industri kraf negara Malaysia?

Menurutnya nilai jualan yang dijana bagi tempoh 10 bulan itu adalah sebanyak RM69.2 juta berbanding RM38.9 juta dalam tempoh sama bagi tahun lalu.

“Kalau dilihat keseluruhan pendapatan kraftangan bagi tahun ini bermula Januari hingga Oktober, ia sudah melebihi sasaran jualan iaitu sebanyak RM236.1 juta berbanding sasaran asal iaitu RM200 juta sahaja.

“Pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 53 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu dengan nilai jualan RM154.2 juta.

“Sambutan Hari Batik Malaysia ini merupakan kemuncak bagi kempen ‘Ini Batik Malaysia’ yang bermula sejak 1 Julai lalu.

“Kempen ini adalah usaha memartabatkan industri kraf batik tempatan yang dijalankan melalui hebahan dan publisiti di media sosial serta aktiviti persembahan atau pameran di Parlimen, Kementerian, pusat beli-belah terpilih dan lokasi tumpuan pengunjung seluruh negara,” jelasnya ketika ucapan perasmian.

Pada pendapat anda, usaha manakah yang paling efektif untuk meningkatkan permintaan batik dalam masa jangka panjang?

Selain itu, sambutan ini juga turut dimeriahkan dengan Acara Mewarna Batik Teramai dengan penglibatan pelajar sekolah rendah, menengah, agensi swasta di seluruh negara.

Aktiviti ini dijalankan di bawah Cakna Kraf yang akan direkodkan dalam The Malaysian Book of Records.