Fasa Satu MRT Laluan Putrajaya, laluan kedua di dalam rangkaian MRT Lembah Klang telah dibuka kepada orang ramai sejak 16 Jun 2022.
Jajaran baharu sepanjang 17.5km itu bermula dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu.
Dengan 12 buah stesen, laluan tersebut menyediakan transit tren yang amat diperlukan di kawasan berpenduduk padat seperti.Sungai Buloh, Damansara Damai dan Sri Damansara di Petaling Jaya, juga Kepong, Jinjang serta Kampung Batu, di Kuala Lumpur.
Pencapaian ini sekaligus menunjukkan ekonomi negara kini semakin pulih dengan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial.
Tiga daripada stesen yang pada asalnya merupakan sebahagian daripada MRT Laluan Kajang iaitu Sungai Buloh, Kampung Selamat dan Kwasa Damansara kini telah dipindahkan ke MRT Laluan Putrajaya.
Laluan tersebut dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob semasa majlis yang berlangsung di waktu pagi, di Stesen MRT Kampung Batu.
Dalam ucapannya semasa majlis, beliau mengumumkan bahawa orang ramai akan menikmati perjalanan percuma untuk semua perkhidmatan pengangkutan awam yang dikendalikan oleh RapidKL, selama satu bulan bermula dari tarikh pembukaan.
Sejajar dengan pembukaan laluan rel, 13 laluan bas pengantara baharu telah diperkenalkan. Stesen MRT Kampung Batu juga dilengkapi dengan perkhidmatan bas percuma Go-KL (laluan Maroon).
MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu bersambung dengan Laluan MRT Kajang di stesen Kwasa Damansara, di mana penumpang boleh berpindah dengan lancar merentasi platform. Terdapat juga stesen pertukaran dengan perkhidmatan KTM di Sungai Buloh, Sri Damansara Timur (dengan Stesen KTM Kepong Sentral) dan Kampung Batu.
Penduduk di kawasan itu akhirnya mempunyai akses pengangkutan awam tambahan selain daripada perkhidmatan sedia ada.
Bagi Suraiya Nadzrah Ramli, 41, yang menetap di Putrajaya berkata, MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berlaku tanpa mengira masa sejak kebelakangan ini.
Katanya, perkhidmatan awam baharu itu memberi pilihan kepada orang awam sama ada yang menetap di Kuala Lumpur untuk datang bekerja di Putrajaya atau menetap di Putrajaya dan bekerja di Kuala Lumpur.
“Perkhidmatan itu sudah tentu memberi kemudahan kepada penduduk sekitar kerana kami tidak perlu lagi memandu dan penat terperangkap dalam kesesakan di samping dapat kurangkan karbon dioksida (CO2).
Dengan MRT Laluan Putrajaya ini, ia dapat memudahkan lagi urusan pengguna yang berada di luar Putrajaya.
Rakyat Malaysia berharap kerajaan dapat memastikan MRT berkenaan menepati masa dan lebih banyak tren beroperasi ketika waktu puncak.