PUTRAJAYA, 20 Januari 2025 – Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, melalui Amanat Tahun 2025 telah menegaskan pentingnya 3 fokus utama iaitu, Memantapkan Pemboleh Daya Reformasi, Memperkukuh Nilai & Tatakelola dan Mempertingkatkan Sinergi Strategik.
Dengan tema “Reformasi: Satu Kemestian”, fokus utama tahun ini adalah untuk memantapkan keupayaan sektor awam melalui pengurusan kewangan dan projek yang lebih strategik serta memperkenalkan Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (IPPA) yang baharu. Malaysia juga bertekad untuk mengetuai ASEAN 2025 dengan komitmen dan keberkesanan yang lebih baik.
Nilai Malaysia MADANI seperti integriti, ihsan, dan profesionalisme menjadi tunjang dalam usaha ini, disokong oleh program ILTIZAM untuk meningkatkan daya saing penjawat awam.
Kerjasama antara Persekutuan dan Negeri turut diperkukuh melalui Deklarasi Kuala Lumpur, manakala langkah memperbaiki kedudukan Malaysia dalam indeks global seperti CPI dan IMD Competitiveness Ranking menjadi keutamaan.
Reformasi ini memerlukan usaha kolektif semua penjawat awam untuk merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI. Perubahan ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan perkhidmatan awam tetapi juga membawa manfaat besar kepada rakyat dan negara. Maklumat lanjut boleh didapati dalam dokumen rasmi Amanat KSN 2025.